Monday, May 26, 2014

Mereka yang bertahan - Dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo.

Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973).

Mat Sentol merupakan pengarah yang produktif dan inovatif mengarahkan tujuh filem ketika zaman kemerosotan filem Melayu. Untuk menarik penonton, Mat Sentol banyak bereksperimen dengan special effect dan teknik animasi yang memberi kelainan kepada filem-filem arahannya. Mat Sentol juga berjaya menjemput John Calvert, seorang ahli silap mata terkenal dari England yang berada di Singapura mengadakan pertunjukan ketika itu untuk berlakon dalam filem arahannya Mat Magic (1971).

Tetapi kelainan filem-filem Mat Sentol masih gagal menarik penonton ke panggung seperti pada era kegemilangan filem Melayu tahun 50an dan awal 60an. Apa pun Mat Sentol adalah pengarah filem Melayu dalam kelasnya tersendiri.

M Amin atau nama sebenarnya Muhammad Amin Ihsan (1924 – 2003) merupakan seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus berkarya walaupun kesuraman menyelubungi dunia filem Melayu. Antara 1967 hingga 1973 M Amin mengarah lebih kurang 13 filem berbagai genre sebelum beliau berpindah ke Merdeka Studio, Ulu Kelang pada 1974. Di antara filem-filem arahan beliau ketika di Cathay Keris (jumlah ini tidak termasuk filem-filem arahan awal beliau sebelum 1967) ialah Dosa Wanita (1967), Pop Muda (1968), Srikandi (1969), Sial Wanita (1969), Puaka (1970), Jahanam (1971), Satu Titik Di Garisan (1972) dan filem terakhirnya dengan Cathay Keris, Hati Batu (1973).

M Amin hanya mengarah tiga filem di Merdeka Studio. Filem-filem Penyamun Si Bongkok, Satu Penentuan dan Pertiwi dalam masa setahun 1974.

Seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus mengarah ketika zaman kejatuhan filem Melayu itu ialah Nordin Ahmad (1932 – 1971).

Antara 1967 hingga 1971, beliau mengarah enam filem berjudul Playboy (1967), Kekasih (1968), Simurai (1968), Nafsu Belia (1969), Keranda Berdarah (1969), Lobang Neraka (1970) sebelum meninggal pada usia baharu 39 tahun kerana mengidap demam kuning.

Ada juga bekas pelakon MFP menerbitkan filem secara independant selepas penutupan studio MFP Jalan Ampas. Pelakon Ahmad Mahmud pernah menerbit dan mengarahkan filemnya sendiri berjudul Di Antara Dua Nesan (1968).

Filem ini menggunakan format penggambaran 16mm untuk di blowup ke 35mm. Filem ini tidak ditayangkan di panggung kerana mutunya rendah. Apa pun filem Di Antara Dua Nesan boleh dianggap sebagai filem indie Melayu pertama dihasilkan. Satu keberanian yang luar biasa daripada pelakon dan pengarah Ahmad Mahmud. Salut!

Sementara itu di Kuala Lumpur, antara 1967 hingga 1978 syarikat Merdeka Film Productions masih lagi menerbitkan filem yang diarahkan oleh P Ramlee, S Kadarisman, Omar Rojik, Naz Achnas, Diresh Ghosh dan Jamil Sulong. Tiga tahun sebelum MFP ditutup P Ramlee berpindah dari studio Jalan Ampas, Singapura ke Merdeka Studio Ulu Kelang pada 1964.

Studio MFP di Singapura terpaksa ditutup kerana masalah mogok pekerja menuntut kenaikan gaji. Ditambah dengan kemerosotan dari segi sambutan penonton dan kutipan filem-filem Melayu ketika itu. Filem-filem Melayu baik terbitan MFP mahupun Cathay Keris mula tidak mendapat sambutan penonton. Salah satu sebabnya adalah kerana kemunculan televisyen. Televisyen dilancarkan pada 1963 di Malaysia dan menjadi kegilaan ramai. Program-program televisyen menjadi medium alternatif kepada rakyat. Televisyen memberi satu bentuk hiburan baharu kepada rakyat negara ini. Mereka tidak perlu bersusah payah ke panggung untuk mencari hiburan.

Hiburan datang secara mudah ke ruang tamu rumah mereka baik di bandar atau di kampung. Syarat utama yang perlu ada ialah kemudahan bekalan elektrik di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung.

Selain pengaruh televisyen, tidak dapat dinafikan filem-filem Melayu keluaran tahun-tahun selepas penutupan MFP sememangnya jauh ketinggalan dari segi idea, cerita dan teknik penggambaran terkini masa itu. Tahun awal 70an merupakan era kejatuhan dan kemuraman filem-filem Melayu selepas melalui era kegemilangan pada tahun-tahun 50an sehingga 60an.

Saingan dari filem-filem keluaran Hollywood, Bollywood (masa itu belum ada ungkapan Bollywood hanya dikenali filem Hindustan), filem-filem Hong Kong dan Indonesia ditayangkan di negara kita semuanya dalam warna dan bentuk bidang luas dikenali sebagai cinemascope. Filem-filem Melayu pasca penutupan studio MFP, Jalan Ampas sama ada yang dihasilkan oleh Cathay Keris mahupun Merdeka Studio masih lagi dalam bentuk hitam putih. Ini merupakan salah satu sebab kurangnya minat orang menonton filem-filem Melayu.

Aku melihat kejatuhan dan merudumnya filem-filem Melayu ketika itu berkait rapat juga dengan sikap dan jati diri bangsa Melayu sendiri. Walaupun pendapat aku ini bukan berdasarkan kajian ilmiah tetapi lebih kepada pengamatan aku terhadap suasana kehidupan yang aku lalui pada zaman remajaku ketika itu.

Rata-rata orang-orang Melayu baik remaja dan dewasa bila ditanya sama ada mereka tonton filem Melayu atau tidak akan berasa bangga memberi jawapan – "I tak tengok filem Melayu" atau "I tak minatlah filem Melayu".

Sikap ini ketara pada golongan Melayu kelas menengah dan atasan terutamanya yang berpendidikan Inggeris. Golongan ini juga merupakan kelompok masyarakat Melayu yang ada kekuatan ekonomi. Mereka lebih berkemampuan untuk menonton dibandingkan dengan golongan marhaen. Sehingga hari ini sukar aku mentafsirkan kenapa mereka bersikap begitu. Aku masih lagi berjumpa orang-orang Melayu yang bersikap begini sekarang. Aku berani membuat kesimpulan bahawa keadaan sebegini masih belum berubah. Kenapa?

Aku juga berlatar belakangkan pendidikan Inggeris tetapi aku tonton juga filem Melayu, di samping menonton filem-filem barat pada zaman remaja dan sehingga sekarang. Ketika itu aku tidak terfikir untuk menjadikan bidang filem ini sebagai kerjaya masa depan aku.

Sejujurnya aku katakan walaupun aku tahu filem-filem Melayu ketika itu ‘teruk’ tetapi aku tetap menonton kerana pada aku apa yang dipaparkan dalam filem-filem itu aku faham dan dekat dengan diri aku baik secara fizikal, mental dan paling penting spiritual. Ini pendapat peribadi aku dari dulu hingga sekarang. Muktamad.

Untuk berlaku adil kita perlu akui bahawa sememangnya saingan filem-filem luar memang tidak mampu ditandingi oleh pengarah-pengarah kita terutama dari aspek teknikal dan modal. Filem sebagai satu produk dalam sistem ekonomi kapitalis yang mengutamakan keuntungan terpaksa berdepan dengan persaingan untuk menarik pembeli (baca penonton). Jika ada pihak dengan modal lebih besar boleh menghasilkan produk lebih ‘gempak’ maka kita tidak boleh menyalahkan pembeli (penonton) lebih tertarik kepada produk pesaing kita.

Objektif utama pemodal adalah mengaut sebanyak mungkin keuntungan. Masalah pembikin filem Melayu dahulu dan sekarang pembikin filem Malaysia adalah sama - kita berdepan dengan satu vicious circle – lingkaran maut!

Seniman Agung P Ramlee merupakan ‘panglima’ paling handal dalam gelanggang filem Melayu juga tumpas di penghujung hayatnya ditelan oleh lingkaran maut ini! Pembikin filem kita sekarang, bagaimana?

NASIR JANI


sumber: sinarharian.com.my

Nak berdiri tegak boleh, tak nak berdiri tegak pun boleh

Krontjong Orchest Eurasia - Terang Boelan (1928)








Serupakan tapi tak sama

The song "La Rosalie" was composed by Pierre-Jean de Béranger (1780-1857), a French lyricist. It became a popular French melody, and was prominent on the island of Mahé in Seychelles. The song's popularity spread across the French occupied territories in the Indian Ocean and reached as far as the Malay Archipelago in the late 19th century.

"Allah Lanjutkan Usia Sultan" is the state anthem of Perak, Malaysia. The state anthem was created during a state visit of Sultan Idris of Perak to England in 1888. It was noticed that no anthem existed to greet the Sultan. The Aide-de-camp of the Sultan, Raja Mansur ibni Sultan Abdullah, did not dare to tell that no anthem exists and so instead hummed a song he knew from the Seychelles, a melody originally written by Pierre Jean de Beranger. After he told the Sultan about it, the sultan accepted the song as the anthem. The lyrics 'Allah Lanjutkan Usia Sultan' were written by Raja Ngah Manur bin Raja Abdullah.

The song was later introduced into an Indonesian Bangsawan (Opera), which was performing in Singapore. In no time at all, the melody became extremely popular and was given the name 'Terang Bulan (Bright Moon)'. Aside from its dignity and prestige as the Perak State Anthem, the song became a Malayan "evergreen", playing at parties, in cabarets and sung by almost everybody in the 1920s and 1930s. The song was also spelled as 'Terang Boelan'

The oldest known recording of "Terang Boelan" was made
by the Hague krontjong ensemble Eurasia in London (Edison Bell Studio) in 1928. Eurasia was a band formed by Indonesian students from Leiden and Delft. Hannie Maks played the krontjong (keroncong) guitar.

The keroncong guitar is a small ukulele-type slender guitar (related to the Portuguese cavaquinho) from Java island, Indonesia, mainly used in Keroncong music (pronounced "kron-chong"), which has Portuguese influence (from the late 19th century).

Aku ciplaK kat sini ---> http://steadyaku-steadyaku-husseinhamid.blogspot.com/


Saturday, May 24, 2014

P. Ramlee

My stunted growth in understanding Malaysian politics is even greater these days, reading how much we have progressed backwards and how true P Ramlee, the great Malaysian social-philosopher and humanist, said about politics being a "circus" (sarkas) when illiteracy rules and rationalism is shunned against.

Bukan aku cakap, dia cakap --->  azlyrahman

Monday, May 19, 2014

From Hollywood, Bollywood, myBolehwood back to WoodStock

Perkenalan pertama dengan filem dokumentari

MENJELANG penghujung tahun 60-an satu fenomena muzik dan gaya hidup baharu melanda anak-anak muda seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali.

Pengaruh muzik psychedelic yang berakar umbi genre blues dan rock n roll melalui counter culture dikenali sebagai budaya Woodstock.

Budaya popular Woodstock ini diasosiasikan dengan fahaman dan gaya hidup hippies - make love not war.
Woodstock Kids

Fahaman dan pegangan hidup protes dan anti perang. Generasi muda Amerika lahir selepas perang dunia kedua inilah yang meraikan cinta, kasih dan sayang sesama manusia. Cara dan fahaman hidup hippies ini bermula dan berkembang dari Amerika Syarikat.

Anak-anak muda penganut fahaman hippies dari kelompok counter culture ini memprotes tindakan kerajaan Amerika memaksa anak-anak muda didaftarkan untuk menjadi soldadu dan dihantar ke Vietnam untuk berperang.

Lambang protes mereka ialah dengan imej rambut panjang, seluar jeans bell bottom, memakai rantai dengan baju T bercorak tie and dye.

Protes mereka ini disuara dan dizahirkan  melalui demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan pelajar di kampus-kampus universiti di seluruh Amerika.

Protes pelajar kampus paling diingati dan ikonik ialah insiden pada 4 Mei 1970 di kampus Ohio Kent State University di mana empat pelajar ditembak mati oleh Ohio National Guards dan sembilan lagi cedera.

Perang yang bermula dari 1956 dikenali sebagai Vietnam War atau Perang Vietnam. Kemuncak perang ini pada tahun-tahun pertengahan 60-an hingga awal tahun 70-an.

Pada 30 April 1975 Amerika dan sekutunya Vietnam Selatan menyerah kalah. Akhirnya, pada 2 Julai 1976 Vietnam Utara dan Selatan bersatu menubuhkan Republik Sosialis Vietnam dan kekal hingga ke hari ini.

Woodstock Festival diadakan di Bethel, New York pada 15 hingga 18 Ogos 1969 dengan tema 3 Days of Peace and Music.

Woodstock Rockers

Ia merupakan satu event protes yang menggunakan muzik untuk menyampaikan mesej anti perang. Woodstock Festival membawa satu bentuk partisipasi dan penerimaan peminat kepada muzik yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Walaupun pada 1967 di California pernah diadakan Monterey Pop Festival tetapi tidak dapat menyaingi Woodstock Festival dari segi jumlah penonton dan suasana festival itu sendiri.

Festival muzik ini adalah lambang protes dan penentangan generasi muda Amerika terhadap sistem kerajaan mereka.

Seramai 32 penyanyi dan kumpulan muzik mengadakan persembahan di kawasan terbuka dengan ditonton oleh hampir 500,000 peminat yang berkampung selama tiga hari tiga malam berbanding dengan seramai antara 25,000 hingga 90,000 untuk jangka masa sama di Monterey Pop Festival sebelum ini.

Bila sebut saja perkataan Woodstock sejak dari tahun 1970 sehingga sekarang terutamanya di negara kita ini akan membawa konotasi berkaitan dengan keruntuhan moral anak-anak muda.

Inilah stigma yang ditempelkan kepada apa-apa sahaja yang ada hubung kait dengan Woodstock. Baik muzik, filem, fesyen pakaian, rambut dan apa saja isu akan cuba dikaitkan dengan Woodstock untuk memberi persepsi negatif.

Berbalik kepada filem Woodstock, aku menulis tentang filem ini dalam konteks filem dan sejarah perfileman bukannya konteks moral. Woodstock Festival ini dirakam dalam bentuk filem dokumentari dengan judul Woodstock diarah oleh Michael Wadleigh.

Filem dokumentari ini diterbitkan dan diedar oleh Warner Bros. Ditayangkan pada 1970 dan mendapat sambutan hangat di seluruh dunia termasuk Malaysia. Filem dokumentari ini berjaya mencipta kutipan boxoffice berjumlah US 50 juta di seluruh dunia.

Aku menonton filem Woodstock di panggung Rex, Melaka pada tahun 1971. Panggung Rex Melaka telah lama diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersial.

Filem Woodstock adalah filem dokumentari pertama aku tonton tanpa aku sedari yang Woodstock adalah filem dokumentari.

Pengetahuan dan pendedahan kebanyakan pelajar-pelajar sekolah termasuk aku ketika itu tentang jenis-jenis filem tidak seperti pelajar-pelajar sekarang yang lebih berpengetahuan tentang filem.

Filem kepada aku dan kebanyakan kami ketika itu adalah satu penceritaan yang mesti ada hero dan crook. Elemen ini biasa bagi filem-filem mainstream atau arus perdana. Filem Woodstock tidak ada elemen filem arus perdana tetapi masih boleh menarik minat ditonton ramai.

Ketika itu aku bersekolah dalam tingkatan lima di High School Melaka dan tinggal di asrama. Aku menonton filem Woodstock sebanyak tiga kali. Beberapa rakan aku yang ada lebih kemampuan kewangan menonton sehingga empat lima kali.

Kenapa kami begitu teruja dengan filem Woodstock?

Woodstock Crowds

Tarikan yang pasti sehingga kami mengulang tonton ialah muzik dan lagu-lagu yang dipersembahkan dalam filem ini oleh penyanyi-penyanyi dan band-band seperti The Who, Jimi Hendrix, Santana, Ten Years After, Joe Cocker, Janis Joplin dan ramai lagi. Lagu-lagu dan muzik mereka ini tidak pernah disiarkan melalui radio (RTM) ketika itu.

Sememangnya peluang menikmati lagu-lagu melalui filem Woodstock itu adalah satu pengalaman yang mahal.

Setelah aku tamat pengajian di UiTM dan memulakan kerjaya sebagai filmmaker sekali lagi filem dokumentari Woodstock ini menerpa masuk dalam hidup aku. Banyak informasi baharu tentang filem dokumentari Woodstock aku temui.

Aku memang peminat tegar pengarah Martin Scorsese. Dia dikenali melalui filem-filem hebatnya di antaranya filem Means Street (1973), Taxidriver (1976), Raging Bull (1980), Gangs Of New York (2002), The Aviator (2004), The Departed (2006) dan yang paling terkini filem The Wolf Of Wall Street.

Rupa-rupanya pengarah yang aku minati ini adalah salah seorang penolong pengarah dan penyunting filem Woodstock. Martin Scorsese baharu tamat pengajiannya dalam bidang filem dari New York University dan baharu berusia 27 tahun ketika terlibat dalam produksi Woodstock pada 1969.

Aku juga menemui informasi filem Woodstock memenangi anugerah Academy Award for Best Documentary Feature tahun 1971. Filem ini juga dicalonkan untuk anugerah Academy Award Bunyi Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Filem dokumentari Woodstock ini penting untuk dijadikan rujukan kepada pelajar-pelajar filem dan peminat-peminat tegar filem dan pengkaji sosial dan antropologi.

Pada aku filem dokumentari Woodstock bukan kayu ukur penentu moral tetapi filem dokumentari Woodstock adalah perakam satu era penting dalam sejarah perkembangan dunia.

Renungkan kata-kata pengarah filem Martin Scorsese – “Film is history. With every foot of film that is lost, we lose a link to our culture, to the world around us, to each other and to ourselves.”
Woodstock Tents














Kesimpulannya, tontonlah filem dengan minda terbuka.

sumber: sinar harian

Tuesday, May 13, 2014

The Beatles pencetus budaya pop dalam filem


SEJAK dua minggu lalu, aku menulis tentang muzik pop yeh yeh yang popular tahun 60-an. Muzik ini bukan setakat popular melalui ruang udara (radio) tetapi popularitinya telah diangkat melalui filem -filem Melayu tempatan.
Bermula di Barat terutamanya di Britain, satu ledakan pop culture atau budaya popular – budaya pop dalam muzik bentuk baharu melanda dunia hiburan seni muzik dan filem dunia.

Tempias dari ledakan ini telah aku ceritakan sejak dua minggu lalu. Pengaruh dari The Beatles inilah yang melahirkan muzik pop yeh yeh di negara kita berpusat di Singapura ketika itu.

Apa akan aku tulis minggu ini adalah kaitan muzik dengan filem. Dua elemen hiburan dan seni yang saling melengkapi antara satu dengan lain. Baik filem-filem Barat mahupun Melayu tempatan.

Tetapi sebelum mulakan, aku hendak ceritakan tentang pertemuan aku dengan kenalan lama seorang pesara kerajaan yang baharu tiga tahun pencen.

Menurutnya, dia mengikuti kolum aku sejak dari tulisan pertama hinggalah ke minggu lepas.

Dia bertanya kenapa aku menulis tentang kisah-kisah yang telah berlaku 40 hingga 50 tahun lampau.

Maksudnya, tulisan-tulisan aku mengenai sejarah muzik dan filem Melayu berkaitan dengan pop yeh yeh.

Dia berpandangan aku cuma membuang masa kerana siapa minat membaca dan mahu ambil tahu tentang kisah pop yeh yeh yang telah menjadi barang antik dan ditelan masa.

Aku nyatakan kepadanya - aku mahu merakamkan sejarah perkembangan muzik moden Melayu untuk generasi muda - anak semua bangsa Malaysia masa kini terutama penuntut bidang muzik dan filem serta sesiapa yang berminat kedua bidang ini.

Aku katakan padanya aku berpegang kepada prinsip – kita mesti tahu sejarah sesuatu bidang yang kita ceburi untuk kesinambungan penerokaan kreatif dalam berusaha mencari dan melahirkan sesuatu yang baharu.

Konsep ini melibatkan semua bidang kehidupan manusia – politik, agama, budaya, sosial, seni dan apa saja bidang berkaitan dengan hidup kita di dunia ini.

Aku katakan padanya, paling penting setidak-tidaknya sehinggakan kita juga perlu tahu sejarah hidup diri kita sendiri untuk dijadikan pedoman sebelum dijemput ALLAH. Tiada hari ini tanpa semalam kerana esok belum pasti kita masih bernafas lagi atau tidak.

Berbalik kepada muzik pop yeh yeh dan filem, aku membesar dalam zaman itu.

Muzik pop yeh yeh berkembang mulai tahun 1965 selepas tiga tahun The Beatles melancarkan single pertama mereka Love Me Do tahun 1962. Arus gelombang gabungan muzik rock n roll yang dilahirkan The Beatles telah melanda dan menjadi kegilaan anak-anak muda di seluruh dunia.

Anak-anak muda di Nusantara tidak terkecuali dari ledakan muzik The Beatles. Anak-anak muda Melayu di Singapura dan Malaysia dengan kugiran-kugiran dan penyanyi-penyanyi seperti M Osman dan The Mods, A Ramlie dan The Rythmn Boys, Jefrydin dan The Siglap Five dan lain-lain.

Indonesia tidak terkecuali dengan kumpulan Koes Bersaudara dan menukar nama kepada Koes Plus awal tahun 70an.

Kumpulan Dara Puspita pula merupakan band atau kugiran pertama dan satu-satunya di Nusantara dianggotai oleh empat pemuzik terdiri daripada anak-anak gadis.

Kesimpulannya, sememangnya era 60-an dunia menyaksikan dan berasakan satu kebangkitan muzik corak baharu yang berasaskan muzik blues dan rock n roll.

Dalam masa sama dunia juga menyaksikan perang Vietnam terus meledak – peperangan antara fahaman demokrasi (Amerika) dengan fahaman komunis (Vietnam Utara).

Di Palestin perang terus bergolak antara Israel dan dunia Arab. Kelompok manusia yang berperang terus berperang berbunuhan sesama manusia untuk menegakkan fahaman dan ideologi masing-masing.

Ada kelompok yang terus berperang untuk mempertahankan pegangan dan kepercayaan agama masing-masing. Itulah senario dunia pada tahun-tahun 60an.

Sementara di medan seni pula, penemuan dan penghasilan karya-karya seni muzik dan filem terus berkembang. Hasil-hasil karya seni filem yang bercorak muzikal Barat seperti filem-filem lakonan The Beatles menambah khazanah seni pop culture atau budaya popular dunia.

Aku juga tidak dapat lari dari arus ledakan pop culture ini. Aku membesar dikelilingi oleh pop culture yang baharu bermula mempengaruhi kehidupan penduduk dunia tanpa mengira generasi tua atau muda ketika itu.

Apa itu pop culture? Secara ringkas budaya pop adalah cara penghayatan hidup seharian yang tidak sama seperti kehidupan lama atau tradisional.

Pop culture ini berkembang melalui muzik, filem, fesyen, seni lukis, sastera, teater dan juga makanan. Perubahan ini berlaku seiring dengan perubahan dan kemajuan dalam bidang media massa terutama televisyen, filem, media cetak dan alat komunikasi paling terkini - internet.

Televisyen adalah agen utama dalam membawa berkembangnya pop culture kerana peti televisyen yang dikenali sebagai the idiot box itu mula menjadi keperluan asas setiap keluarga di mana-mana saja di dunia ini termasuk negara kita bermula dari tahun 1963.

Pengaruh pop culture ini selalunya bermula dan berkembang di kota-kota besar setiap negara di dunia. Di Malaysia pop culture mula berkembang di Singapura pada tahun 60-an.

 Zaman sekolah rendah, aku tinggal bersama dengan Allahyarham datuk dan nenek aku di kampung di Alor Gajah, Melaka.

Sementara Allahyarham bapa aku bekerja dan Allahyarham ibuku (suri rumah tangga sepenuh masa) menetap di Singapura.

Menjadi rutin aku setiap cuti penggal persekolahan menghabiskan masa bersama mereka. Allahyarham bapa akan membawa aku menonton filem-filem terbaharu yang ditayangkan di panggung-panggung di kota singa itu.

Filem muzikal lakonan The Beatles, A Hard Day’s Night (1964) merupakan filem bercorak muzikal pertama aku tonton ketika di darjah lima semasa menghabiskan cuti sekolah hujung tahun di Singapura.

Filem A Hard Day’s Night arahan Richard Lester ini meletup di boxoffice di seluruh dunia ketika itu. Filem ini dibuat dalam bentuk hitam putih dengan gaya cinema verite menggunakan muzik genre rock n roll sebagai elemen penting dalam menyampaikan cerita.

Filem ini diiktiraf oleh majalah Time sebagai di antara salah  satu dari 100 filem terhebat dunia dan filem muzikal yang paling berpengaruh sepanjang masa.

Selepas mendapat sambutan hangat, A Hard Day’s Night diterbitkan pula oleh Pan Books dalam bentuk novel oleh penulis, John Burke berdasarkan screenplay asal oleh Alun Owen.

Ada yang berpendapat A Hard Day’s Night selain dari satu hasil kerja filem ia juga merupakan video klip muzik panjang pertama pernah dihasilkan.

Setahun selepas itu The Beatles muncul dalam filem kedua mereka berjudul HELP (1965) diarahkan juga oleh Richard Lester. Filem ini bergenre comedy adventure dan difilemkan dalam warna. HELP juga mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.

Tidak boleh dinafikan filem-filem A Hard Day’s Night dan HELP adalah inspirasi kepada pengarah-pengarah filem Melayu seperti Omar Rojik menghasilkan A Go Go 67 dan diikuti oleh pengarah-pengarah lain yang menghasilkan filem-filem yang ada elemen muzik rock n roll sama ada dalam bentuk muzik latar mahupun penampilan kugiran-kugiran sebagai artis jemputan dalam filem-filem genre drama dan muzikal.

Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, satu kejutan budaya pop berlaku dalam kalangan anak-anak muda di seluruh dunia dan negara kita.

Festival muzik WOODSTOCK berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos 1969 di pekan kecil Bethel, New York. Festival tiga hari itu telah dirakamkan dalam bentuk filem dokumentari. Ia ditayangkan di panggung-panggung di seluruh dunia dan mendapat sambutan hangat seperti filem mainstream.

Minggu depan, aku akan menulis tentang filem WOODSTOCK dan impaknya pada perkembangan muzik dan filem tempatan.

sumber: Sinar Harian

A Go Go 67 tanpa M Osman, A Ramlie & Jefrydin?

 FILEM A Go Go 67 (1967) arahan Omar Rojik, terbitan Shaws Malay Film Productions, Singapura. Setahu aku sepanjang sejarah perfileman Melayu, filem ini merupakan genre muzikal pertama dihasilkan sejak filem Melayu pertama, Laila Majnun arahan BS Rajhan diterbitkan oleh SM Chisty di Singapura pada 1934.

Genre muzik pop yeh yeh bermula pada 1965 mencapai kemuncaknya dengan terhasilnya filem A Go Go 67. Filem ini merupakan pelengkap kepada satu evolusi muzik terkini ketika itu. Walaupun sebelum ini filem Muda-Mudi (1965) arahan M Amin ada menampilkan kugiran The Pretenders tetapi lebih sebagai artis undangan sahaja.

Aku menonton A Go Go 67 di panggung Lido, Melaka (sekarang sudah diubahsuai menjadi pasar raya) selepas lebih kurang sebulan tayangan first runnya pada umum. Selalunya, filem-filem Melayu keluaran Shaws Malay Film Productions akan ditayangkan di Melaka selepas tayangan first run di bandar-bandar utama seperti Singapura, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Alor Star dan Ipoh. Tetapi filem-filem keluaran Cathay Keris yang berpusat di Singapura pula selalunya ditayangkan di panggung Cathay, Melaka serentak dengan tayangan first run dengan bandar-bandar utama lain ketika itu. Panggung Cathay, Melaka juga sekarang telah diubahsuai. Tidak silap aku dijadikan pusat pameran perabot.

Filem A Go Go 67 berjaya mencipta satu fenomena. Filem ini mendapat sambutan hangat peminat-peminat muzik pop yeh yeh dan penonton filem Melayu.

Dibintangi pelakon-pelakon utamanya, Aziz Jaafar, Nor Azizah dan Normah Zainal. Membariskan 12 kugiran-kugiran dan empat kumpulan penari a go go.

Naratif filem A Go Go 67 mudah dan senang diikuti. Mengisahkan hero (Aziz Jaafar), seorang pekerja penjaga kuda lumba dan juga ketua, penyanyi kepada kugiran Dendang Perindu. Si hero berdepan dengan konflik apabila dua penyanyi kugirannya, Noor Azizah dan Normah Zainal bermusuh sesama mereka untuk mendapatkan cinta sang hero. Kedua mereka adalah anak-anak orang kaya.

Kugiran-kugiran  dan penyanyi-penyanyi yang membarisi filem ini terdiri daripada Siti Zaiton dan The Hornets, M Hatta dan D’4 Ever, Nadar dan The Zarak, S Mariam dan The Rhythm Boys, Wan Intan dan The Mods, M Noor dan The Night Shadows, A Romzi dan The Hooks, Normah Zainal dan Blue Beats, Sanisah Huri dan The Terwellos, M Ishak dan The Young Lovers, M Fadzil & Okid Abdullah dan Les Coasters, S Jibeng dan Dendang Perindu. Lagu-lagu dan muzik filem ini adalah hasil karya Yusoff B dan Kassim Masdor.

Satu keunikan muzik pop yeh yeh ini selalunya setiap persembahan kugiran-kugiran dan penyanyi-penyanyinya akan diiringi oleh sekumpulan penari. Kumpulan penari-penari ini dipanggil penari a go go. Penari perempuan dengan mini skirtnya dan seluar ketat bagi penari lelaki. Ada kugiran-kugiran yang ditubuhkan siap sekali dengan kumpulan penari a go go mereka sendiri seperti penyanyi M Ishak dan kugirannya The Young Lovers. Kumpulan penari mereka bernama The Young Lovers Dancers. Begitu juga penyanyi Sanisah Huri dan The Terwellos dengan penari-penari mereka bernama Terwellos Dancers.

Filem A Go Go 67 tidak ketinggalan menampilkan kedua kumpulan penari tersebut di samping kumpulan Tami Dancers dan Group 7 Dancers. Filem ini sedaya mungkin cuba memberikan satu package hampir lengkap untuk memenuhi cita rasa penonton dan peminat pop yeh yeh ketika itu. Aku di tingkatan dua ketika menonton A Go Go 67. Tidak aku nafikan sememangnya aku teruja dengan apa aku tonton dan dengar melalui layar lebar ketika itu – satu pengalaman muzik dan tontonan filem yang memuktamadkan cita rasa muzik Melayu aku. Dari saat itu aku memilih muzik Melayu berasaskan rock n roll dan blues. Noktah.

Selepas hampir 47 tahun berlalu, aku masih memikirkan dan mencari jawapan kenapa filem A Go Go 67 tidak menampilkan tiga penyanyi penting aka pelopor pop yeh yeh – M Osman, A Ramlie dan Jefrydin!

Sehingga ke saat ini aku masih bertanya dan mencari jawapannya. Kenapa isu ini tidak disuarakan oleh wartawan-wartawan hiburan baik akhbar mahupun majalah dalam ulasan dan pemberitaan mereka mengenai filem A Go Go 67. Aku ada dan masih menyimpan majalah-majalah lama tahun-tahun 60an (walaupun tidak banyak dan tidak lengkap bilangannya) seperti Majallah Filem terbitan Shaw Brothers, Majalah  Bintang dan Lagu, Berita Filem, Mastika Filem, Majalah Filem Malaysia dan Majalah Lagu-Lagu, Filem & TV. Setakat keluaran tahun 1967 dan 1968 majalah-majalah ini terutamanya Majallah Filem yang merupakan media rasmi syarikat Shaws Malay Film Productions tiada langsung membuat liputan tentang ketiadaan tiga ikon penting pop yeh yeh dalam filem A Go Go 67. Aku yakin tidak terlepas pandang tentang hal ini.

Pada aku filem A Go Go 67 tidak lengkap tanpa tiga ikon ini. Sungguh malang dan satu kerugian besar apabila pengarahnya, Omar Rojik gagal merakamkan penglibatan ikon-ikon ini dalam filemnya. Pada aku ini satu hal penting. Kehadiran tiga ikon pop yeh yeh ini secara langsung akan menjadi bahan rujukan sejarah seni muzik dan filem tanah air. Di antara mereka bertiga hanya Datuk Jefrydin yang masih bersama kita. Mungkin Jefrydin boleh memberi pencerahan kepada persoalan ini!

Pengaruh pop yeh yeh bukan hanya pada muzik yang direvolusikan tetapi pada fesyen pakaian, rambut, kasut dan juga kenderaan – motosikal Vespa dan Lambretta. Semua ini membentuk satu pop culture atau budaya popular yang menyatukan anak-anak muda Melayu di Malaysia, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei dalam mengharungi kehidupan harian mereka ketika itu.

Selepas A Go Go 67, ramai pengarah filem Melayu mula menggunakan muzik pop yeh yeh sebagai daya tarikan untuk memancing penonton untuk menonton filem-filem mereka. Di antara filem yang aku ingat menggunakan formula ini ialah filem-filem keluaran Cathay Keris. Dosa Wanita (1967) arahan M Amin yang menampilkan penyanyi baharu A Rhyme dan The Rythmn Boys. Filem arahan Nordin Ahmad, Playboy (1968) dengan kugiran Les Fentones.

Aku pernah diberitahu oleh Ito, penyanyi kumpulan Blues Gang tentang pertemuannya dengan ikon pop yeh yeh, A Ramlie ketika Blues Gang merakamkan album pertama mereka Any Time, Any Day di Singapura pada tahun 1979. A Ramlie memberitahu Ito – Blues Gang adalah penyambung kepada pop yeh yeh.

Ito juga ada menceritakan kepada aku sumbangannya dengan J Sham, penyanyi pop yeh yeh dengan kugiran The Wanderers berasal dari Tampin, Negeri Sembilan. Lagu popular dan hit mereka ialah Suratku Untukmu yang meletup di penghujung era kegemilangan pop yeh yeh pada awal tahun 70-an.

Menurut J Sham, muzik pop yeh yeh Melayu adalah pengaruh dari The Beatles. Bezanya adalah cara nyanyian penyanyi-penyanyi pop yeh yeh. Aku rasa pandangan J Sham tepat apatah lagi beliau seorang bekas pensyarah bidang muzik.   

Sejarah telah melakarkan genre pop yeh yeh adalah benih kepada suburnya pepohon muzik moden Melayu berasaskan gitar dan dram sehingga sekarang.

sumber: Sinar Harian

The Batak Boys


MULAI minggu ini aku mahu menulis tentang muzik Melayu. Selama tujuh minggu lalu, aku banyak menulis tentang filem dan apa terjadi pada aku serta pengalaman aku lalui dalam bidang filem sehingga tahun-tahun akhir 80-an. Sejak itu aku mula banyak mengarah drama telemovie untuk stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta.

Aku bukan pemuzik tetapi memang meminati muzik, terutama muzik moden berasaskan genre blues dan rock n roll dari barat dan tempatan.

Aku rasa bertuah kerana membesar bersama dengan zaman negara kita ini membangun dan melalui proses pembangunan selepas merdeka dari penjajahan British pada 1957 sehingga ke saat ini. Aku melalui zaman ketika hanya radio merupakan media sebaran am dan diikuti kemunculan televisyen dalam bentuk hitam putih.

Radio Malaya mula beroperasi pada 1 April 1946 dan siaran televisyen pula bermula pada 28 Disember 1963 selepas lebih kurang tiga bulan Malaysia ditubuhkan.

Kampung Kelemak, kampung aku terletak lebih kurang 1.5 kilometer dari pekan Alor Gajah di Melaka, dikira bernasib kerana penduduknya mula mendapat bekalan elektrik pada tahun 1960 dan diikuti dengan bekalan air paip pada tahun berikutnya. Jadi selepas lima tahun merdeka kampung kami sudah ‘ado air dalam bosi, potek topi tongah menyalo’ – ungkapan popular daerah kami yang bertutur dengan dialek Minang Negeri Sembilan bukan dialek Melaka pantai ‘hawau lahabau’.

Kenapa aku kaitkan sejarah penubuhan radio dan televisyen ini dengan apa yang bakal aku tulis minggu ini? Kedua-dua media ini memainkan peranan penting dalam aku menempuh zaman kehidupan kanak-kanak dan remaja. Tahun-tahun aku di sekolah rendah dan menengah. Kedua-dua media ini mengenalkan aku kepada muzik tempatan dan luar, terutama dari barat.

Pada tahun-tahun awal 60-an lagu-lagu Melayu popular lebih banyak yang dipetik daripada filem-filem Melayu terbitan Malay Film Productions dan Cathay Keris yang berpusat di Singapura ketika itu.

Boleh dikatakan kebanyakan lagu yang menjadi hit adalah lagu-lagu dari filem dan bukan lagu-lagu yang sememangnya diterbitkan secara khusus oleh syarikat-syarikat rakaman piring hitam. Sebagai contoh kebanyakan lagu-lagu hit Allahyarham P Ramlee seperti Jeritan Batinku, Di Manakan Ku Cari Ganti adalah dari filem Ibu Mertuaku (1962), lagu Bunyi Gitar dari filem Tiga Abdul (1964), Aci Aci Buka Pintu dari filem Nasib Labu Labi (1963) dan banyak lagi.

Lagu-lagu dari filem ini di ke udarakan melalui Radio Malaya (sebelum 1963) dan Radio Malaysia (selepas 1963) serta Radio Singapura melalui siaran bahasa Melayunya. Kedua-dua stesen ini mempopularkan lagu-lagu dari filem-filem Melayu sehingga menjadi siulan ramai. Peminat-peminat juga boleh membeli piring hitam  lagu-lagu yang hit ini selalunya dalam bentuk EP iaitu empat lagu atau SP yang mengandungi dua lagu.

Memang tidak dapat dinafikan ketika itu radio adalah sumber utama dan penting bagi rakyat menikmati lagu-lagu Melayu dan lagu-lagu Inggeris, Tionghua, Tamil serta Hindustan.

Seingat aku lagu-lagu daripada filem memonopoli siaran radio sejak Radio Malaya ditubuhkan sehingga tahun 1965. Pada tahun ini satu kejutan berlaku dalam politik tanah air. Singapura keluar dari Malaysia dan membentuk pemerintahannya sendiri.
Dalam masa sama satu kejutan berlaku dalam arena seni dan hiburan tanah air. Tercetusnya satu fenomena muzik yang dikenali sebagai pop yeh yeh berlaku di Singapura. Pop Yeh Yeh adalah satu bentuk muzik yang hanya menggunakan alatan muzik seperti gitar dan dram. Kumpulan pemuzik ini dikenali dengan panggilan kumpulan gitar rancak atau singkatannya – kugiran.

Berbeza dengan muzik sebelum ini yang lebih mirip ke sound orchestra yang banyak menggunakan alat muzik tiupan seperti trompet, saksofon, flut, clarinet selain piano, dram dan biola. Lagu-lagu dari filem Melayu lebih kepada sound sebegini.
Dengan meletupnya lagu berjudul Suzanna nyanyian M Osman dan Kugiran The Mods pada awal 1965 melahirkan satu bentuk muzik Melayu yang dikenali sebagai pop yeh yeh. Bermula satu perubahan kepada muzik Melayu.
Nama pop yeh yeh ini berasal dari tajuk lagu, She Loves You Yeah Yeah rakaman The Beatles. Satu kumpulan pemuzik muda berasal dari Liverpool, England.

The Beatles adalah pelopor kepada satu revolusi muzik dunia yang berasaskan kepada muzik rock n roll. Muzik dari The Beatles menjadi kegilaan dan ikutan anak-anak muda di serata dunia.

The Beatles memperkenalkan lineup kumpulan pemuzik terdiri daripada pemain gitar utama, gitar irama (rhythm guitar), gitar bass dan dram.

Lineup inilah menjadi ikutan kebanyakan kugiran pop yeh yeh. Ada juga kugiran yang menampilkan pemain organ sebagai tambahan. Selalunya, kugiran-kugiran ini ada penyanyinya sebagai frontman tidak seperti The Beatles yang semua anggota mereka berkebolehan menyanyi.

Menariknya tentang kugiran-kugiran pop yeh yeh adalah nama yang mereka pilih untuk menamakan kugiran mereka. Selalunya nama Inggeris jadi pilihan sedangkan mereka menyanyikan lagu-lagu berbahasa Melayu. Contohnya, M Osman dan The Mods, Jefri Din dan The Siglap 5, A Ramlie dan The Rhythm Boys, Kassim Selamat dan The Swallows, Eddie Ahmad dan The Antartic, Hussein Ismail dan The Sandblues, A Romzi dan The Hook serta lain-lain lagi.

Penyanyi-penyanyi wanita juga menggunakan format yang sama, seperti Jun Abdullah dan The Cliffters, Fatimah M Amin dan The Clans, P Rosnah dan The Siglap 5, Siti Zaiton dan The Hornets dan ramai lagi.

Seingat aku ada juga kugiran menggunakan nama-nama Melayu seperti M Rahmat dan The Teruna, S Jibeng dan Sri Arjuna, A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana, L Ramlee dan Teruna Ria, Rudin AlHaj dan Impian Batek, Ismail Kasdi dan The Jejaka serta penyanyi wanita Alina Rahman dan The Batek.
Nama kugiran yang paling aku ingat sampai sekarang adalah The Batak Boys. Mereka pilih nama tersebut sempena nama jalan di kampung mereka di Singapura. Tapi sayang mereka tidak ada lagu yang hit!

Walaupun Singapura merupakan pusat tumbuh dan berkembang biaknya muzik pop yeh yeh tetapi ada ramai juga anak-anak muda dari negeri-negeri dan bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia menubuhkan kugiran-kugiran.

Ada di antara mereka yang berjaya merakamkan lagu-lagu hit. Lagu Dara Pujaan nyanyian L Ramlee dan kugiran Teruna Ria berasal dari Pulau Pinang. Dari Melaka, Helen Velu dan The Kilat berjaya menghitkan lagu Kereta Lembu. Dari Seremban, Roziah Latif dan The Jayhawkers berjaya dengan lagu Aku Kecewa.

Johor merupakan negeri paling banyak melahirkan kugiran-kugiran dan penyanyi pop yeh yeh selain Singapura. Siapa boleh lupa A Rahman Onn dan The Strangers dengan lagu hit mereka Cincin Emas dan Peracun Kalbu.

Dari Muar, A Halim dan De Fiction dengan Kisah dan Tauladan, Salam Mesra dan Teman Barunya yang meletup. A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana dengan lagu hit mereka Tak Mengapa merupakan kugiran pertama dari luar Singapura yang berjaya meletakkan diri mereka sebaris dengan kugiran-kugiran paling top ketika itu.

Di antara penyanyi aku ceritakan di atas tadi ada yang mempunyai waris mereka dalam bidang filem masa kini. Khir Rahman pengarah filem ...Dalam Botol adalah anak kepada A Rahman Hassan, penyanyi dan ketua kugiran Orkes Nirwana. Seorang anak muda pelapis berpotensi besar dalam bidang pengarahan dan lakonan filem tanah air. Aku berpeluang bekerjasama dengan Khir awal tahun ini dalam filem Gangsterock...Kasi Sengat arahan Soffi Jikan.

Aziz M Osman dan Zul M Osman, dua pengarah filem anak kepada penyanyi pelopor pop yeh yeh, Allahyarham M Osman. Ibu mereka, Afida Es juga adalah penyanyi pop yeh yeh.

Benarlah pepatah orang-orang tua kita – ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. 

Minggu depan aku sambung lagi tentang fenomena pop yeh yeh ini.

sumber: Sinar Harian

Bara di lautan teduh

 ARTIKEL aku minggu lepas "Nasib baik aku mengamuk" menimbulkan pelbagai reaksi kawan-kawan. Di antara maklum balas aku dapat daripada kawan-kawan penggiat filem ialah mereka tidak tahu tentang insiden aku mengamuk di set penggambaran filem Perancis, After the River pada 1981 itu.

Ramai terkejut dan mengakui minggu lalu merupakan kali pertama mereka mengetahui insiden itu.

Memang aku jarang menceritakan insiden yang berlaku 33 tahun lampau itu kepada sesiapa selama ini. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu dan pernah aku ceritakan. Aku pun tidak tahu mengapa bersikap begitu. Secara berjenaka aku katakan kepada mereka – “Gua belum famous lagi masa tu! Tu sebab lu orang tak tahu!”

Pada aku, peristiwa itu terlalu istimewa dan tinggi nilai sumbangannya dalam membentuk aku untuk menjadi pengarah filem. Insiden itu berjaya membina kekuatan dan jati diri aku secara langsung dan tidak langsung untuk berdepan segala fitnah dan mehnah yang terpaksa aku lalui selama hampir dua dekad.

Tidak aku nafikan insiden 33 tahun lalu itulah yang mencorak pendekatan aku kepada kerjaya yang aku pilih iaitu untuk menjadi pengarah filem.

Selepas berjaya mengarah filem-filem Kembara Seniman Jalanan - KSJ (1985) dan Rozana Cinta ‘87 (1987) aku mula melalui fasa mencabar. Aku berdepan dengan berbagai kerenah yang membuat aku bertindak menentang arus.

Kerenah birokrasi dan hubungan tidak mesra dengan sesetengah pihak media cetak yang telah aku ceritakan dalam tulisan-tulisan aku sebelum ini berlaku antara tahun-tahun 1987 sehinggalah tahun-tahun awal 90-an.

Dalam jangka masa itu aku diberitahu oleh produser-produser yang aku di‘gam’ oleh RTM kerana adegan-adegan dan dialog-dialog dalam KSJ yang mengutuk RTM seperti dialog Osman Tikus yang diperankan oleh Pyanhabib kepada Bujang (M Nasir) ketika dalam studio rakaman – “Jangan sound macam orkestra RTM tak berubah.

Dari gua boleh mendengar sampailah gua tak boleh mendengar dok macam tu je!”. Watak Osman Tikus merupakan watak seorang OKU yang tidak boleh mendengar.

Peliknya tidak ada surat atau pengumuman rasmi dari RTM yang sepatutnya aku terima untuk mengesahkan aku di’gam’ atas sebabsebab jelas. Aku dilontarkan ke dalam satu situasi tidak menentu – ada pihak kata aku di’gam’. Ada pula pihak mengatakan tidak ada tindakan dikenakan kepada aku oleh RTM.

Situasi ini membuatkan aku menghadapi masalah untuk mendapat peluang mengarah filem dan drama daripada ramai produser.

Alasan mereka takut drama atau filem terbitan mereka akan di’gam’ oleh RTM jika aku diambil sebagai pengarah.

Ketika itu, RTM telah mula menswastakan program-program terutamanya drama mereka kepada penerbit-penerbit tempatan. Peluang menerbitkan drama untuk siaran RTM mula menarik ramai orang mencebur diri dalam perniagaan penerbitan drama.

Walaupun penerbit drama untuk televisyen bertambah, tetapi ramai di antara mereka takut memberi peluang untuk aku mengarah bagi syarikat- syarikat mereka.

Senario sama juga aku alami dalam mencari peluang untuk mengarah drama tv.

Dalam bidang filem ada Allahyarham Harun Hassan merupakan produser berani melawan arus memberi aku peluang mengarah Rozana Cinta ‘87 untuk syarikatnya.

Dalam bidang penerbitan drama untuk TV khasnya untuk RTM, aku bertemu dengan seorang penerbit berasal dari Sabah yang berani menongkah arus dengan mengambil aku untuk mengarah drama-drama terbitan syarikatnya, RGM Production Sdn Bhd. Nama penerbit ini, Haji Sheikh Muhammad Sheikh Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Hj Max sahaja.

Hj Max berani menawarkan aku peluang mengarahkan drama-drama terbitan syarikatnya kerana dia berpendapat jika betul aku digam oleh RTM mana hitam putihnya - memang tiada dikeluarkan oleh RTM ketika itu.

Aku berasa pihak media cetak yang kurang mesra hubungannya dengan aku yang agak rajin menimbulkan isu dan cerita ‘gam mengegam’ ini. Melalui syarikat Hj Max, aku mula meneroka satu bidang baharu dalam kerjaya sebagai pengarah - berkarya untuk TV.

Drama TV pertama arahan aku adalah untuk RTM bertajuk Anjang (1988) tulisan Aziz Abbas dengan Baharuddin Hj Omar sebagai Anjang.

Aku mula memasuki fasa baharu di mana aku menggunakan kamera berbentuk video dalam format neumatic untuk penggambaran drama-drama aku.

Pengalaman paling menarik ialah bila aku mula dapat menggunakan kemudahan video assist ketika mengarah.

Kemudahan yang membolehkan pengarah melihat dan memantau melalui skrin monitor ketika penggambaran dilakukan.

Memang pada aku kemudahan inilah yang aku mahukan ketika mengarah, baik drama atau filem - impian setiap pengarah aku rasa.

Aku bersama dengan syarikat Hj Max dari 1988 sehingga 1991. Di antara drama arahan aku untuk RGM Production ialah Tok Kaya (1988) karya Aziz Abbas, Khalilah (1988), Dalam Perjalanan (1988) karya Allahyarham Azizi Abdullah.

Dalam Perjalanan merupakan drama pertama Wan Hanafi Su berlakon untuk TV.

Sebelum dan ketika itu beliau pelakon dan aktivis teater di Terengganu. Kami kenal kerana kegiatan teater.

Ketika dengan syarikat Hj Max ini, aku diberi peluang menulis skrip sendiri selain mengarahkannya. Di antara drama TV yang aku tulis dan arahkan berjudul Funfair. Skrip drama TV tulisan dan arahan aku yang paling meninggalkan kesan pada aku berjudul Bara (1989).Drama Bara ini aku tulis 'treatment'nya ketika dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur dari Los Angeles.

Aku bersama Hj Max dan seorang lagi produser telah menghadiri program film market di Las Vegas, Los Angeles dan San Francisco.

Penerbangan balik kami bermula 10 pagi waktu LA dan sampai di Narita jam 7 petang waktu Tokyo untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur. Cukup membosankan.

Sepanjang penerbangan dari LA ke Tokyo hanya lautan teduh Pasific menjadi santapan mata. Aku bukan jenis yang suka menonton wayang dalam penerbangan.

Jadi aku mula menulis 'treatment' bila satu ilham mengetuk minda ketika aku asyik merenung kebiruan lautan Pacific.

Kisah seorang isteri yang gila glamor untuk menjadi pelakon sehingga sanggup meninggalkan suaminya yang baik.

Aku selitkan juga kisah-kisah yang sering berlaku di belakang tabir ketika penggambaran filem atau drama.

Aku berjaya menulis tangan (masa itu belum ada laptop) 'treatment' yang mengandungi 75 babak sebaik sahaja kami tiba di Lapangan Terbang Narita, Tokyo.

Bila sampai di Kuala Lumpur aku  mengambil masa seminggu menulis teleplay dan memasukkan dialog.

Penggambaran diadakan di Port Dickson. Drama ini merupakan yang pertama Ismail Yaakob (pengarah filem Lenjan (1998) dan Laga (2014) bertugas sebagai penolong pengarah.

Pada Anugerah Seri Angkasa 1989/1990 pada 1 dan 2 Mac 1990, Bara dicalonkan untuk kategori drama swasta terbaik, pengarah drama TV terbaik, lakon TV terbaik.

Pelakon-pelakon Bara turut juga tercalon.

Kamarool Hj Yusuf untuk pencalonan pelakon lelaki terbaik, Zu Ghairi untuk pelakon wanita terbaik. Jit Murad pula dicalonkan untuk pelakon harapan.

Anugerah pengarah drama TV terbaik dimenangi Aziz M Osman. Dramanya Scoop menang drama swasta terbaik. Aku puas hati dengan keputusan kerana dengan tercalonnya karya aku Bara dalam beberapa kategori sudah mencukupi.

Aku tidak mengharap kemenangan tetapi jika menang adalah bonus untuk semua yang terlibat dalam Bara.

Bara merupakan anugerah paling manis untuk aku. Aku berjaya melakar sejarah sendiri. Skrip ‘treatment’ yang aku tulis dalam masa kurang lebih tujuh ke lapan jam atas awan ketika melintasi lautan teduh Pasific tanpa aku sangka berjaya dicalonkan untuk Anugerah Seri Angkasa 1989/1990.

Terima kasih ALLAH.

sumber: Sinar Harian

Nasib baik aku mengamuk!

 DENGAN tersiarnya artikel 'Kenapa aku marah lagi' minggu lalu, makin ramai mula faham kenapa selama ini aku bertindak menentang arus. Ramai juga bertanya aku maksud ungkapan 'persona non grata' di akhir artikel aku itu.

Ada yang ingat lagi Persona Non Grata adalah tajuk filem arahan Syed Azidi pada 2006.

Dalam pengertian mudah 'persona non grata' adalah individu yang tidak punya tempat bermastautin – stateless person.

Aku hanya sedar apa aku lalui selama ini menggolongkan aku sebagai manusia berstatus 'persona non grata' selepas membaca buku Malaysian Cinema In A Bottle (2013) tulisan Hassan Abd Muthalib, seorang pengkritik dan pengkaji sejarah filem Malaysia.

Aku berkesempatan membaca buku terbaharu Hassan itu awal tahun ini.

Dalam salah satu bab, Hassan menceritakan tentang attitude, sikap rebel dan penentangan aku terhadap birokrasi Finas. Hassan merumuskan aku menjadi 'persona non grata' kerana kelantangan aku memprotes membuat produser-produser filem tidak berani mengambil risiko untuk aku mengarah filem-filem terbitan mereka.

Diringkaskan cerita, aku wujud dalam industri filem tanah air tetapi tiada peluang dan ruang untuk mengarah filem. Wujud tetapi sama macam tidak wujud! Macam mana tu?


Perang Vietnam,  filem dan aku...

Aku teringat pengalaman hidup aku lalui awal tahun 80-an. Lebih tepat kejadian pada Julai 1981 bersamaan Ramadan 1401 Hijrah.

Selepas aku berhenti dari Profilm aku cuba bekerja secara freelance. Tugasan pertama aku sebagai penolong pengarah freelance adalah untuk satu produksi besar bertaraf antarabangsa.

Aku berpeluang menjadi penolong pengarah ketiga produksi dari Perancis untuk filem After The River. Filem ini mengisahkan sekumpulan kanak-kanak Vietnam yang melarikan diri dari perang yang sedang mengganas antara Amerika dengan Vietnam Utara.

Perang antara fahaman demokrasi (Amerika dan Vietnam Selatan) dengan fahaman komunisme (Vietnam Utara dan Rusia). Perang Vietnam ini terjadi antara 1957 hingga 30 April 1975 dengan kekalahan di pihak Amerika dan Vietnam Selatan.

Melakonkan watak kanak-kanak Vietnam adalah kanak-kanak Malaysia dari bangsa Cina dan Melayu. Rata-rata dalam lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun. Lokasi untuk penggambaran adalah di Terengganu.

Memang satu pengalaman gempak bagi seorang anak muda seperti aku yang baharu memulakan kerjaya dalam bidang filem cereka ketika itu. Tugas aku memastikan lokasi dan logistik melibatkan krew tempatan dalam keadaan tersusun dan siap siaga. Tenaga kerja terlibat dalam produksi ini terdiri dari Perancis dan tempatan berjumlah hampir 60 orang.

Tidak ada banyak hotel di bandar Kuala Terengganu ketika itu. Tidak silap aku hampir semua bilik di Hotel Warisan kami borong. 

Produksi ini bergerak dalam unit yang besar. Setiap hari kami bergerak dari hotel menuju ke lokasi penggambaran dengan empat buah bonded van membawa peralatan kamera, lampu dan generator.

Pelakon utama, pelakon extra, kru Perancis dan kru tempatan dengan dua bas besar berhawa dingin. Selain itu, ada lebih kurang tujuh van untuk keperluan kostum, mekap, prop, makanan dan minuman.

Paling aku ingat ada satu van khas untuk unit perubatan terdiri daripada seorang doktor dan dua jururawat didatangkan dari Perancis.

Ini kali pertama aku ikut shooting yang siap dengan doktor di lokasi penggambaran.

Dari segi peralatan pula, aku dapat pengalaman bekerja dengan unit kamera yang menggunakan kamera jenis Panavision. Sebelum ini ketika aku di Profilm ada juga peluang bekerja dengan pengarah-pengarah filem iklan dari England dan Australia yang guna kamera jenis Panavision.

Penggambaran After The River ini adalah pengalaman pertama aku dengan unit kamera menggunakan Panavision untuk filem cereka. Bezanya penggambaran 33 tahun dulu dengan sekarang cuma satu – kami tidak ada peralatan video assist ketika itu.

Selepas seminggu penggambaran, kami memasuki bulan Ramadan. Hari pertama puasa kami buat penggambaran di sebuah kampung di kawasan Setiu, Hulu Terengganu.

Adegan hari itu melibatkan sekumpulan kanak-kanak pelakon tambahan yang dipilih daripada anak-anak penduduk kampung itu. Adegan yang mahu diambil oleh pengarah filem itu berdasarkan satu kejadian benar serangan askar Amerika dan Vietnam Selatan ke atas Kampung Trang Bang pada 8 Jun 1972 ketika perang Vietnam sedang memuncak.

Dalam serangan untuk mencari askar-askar Vietnam Utara yang dikenali sebagai Vietcong, pihak Amerika telah menggugurkan bom jenis Napalm. Bom api kimia ini dilarang penggunaannya dalam perang oleh Badan Hak Asasi Manusia Sedunia.

Peristiwa ini dirakam dalam bentuk foto oleh jurugambar berbangsa Vietnam bernama Nick Ut yang bertugas dengan Associated Press (AP). Foto yang merakam wajah seorang budak perempuan berusia sembilan tahun berlari menangis kesakitan akibat terkena bom Napalm yang membakar belakang tubuhnya. Dia berlari dalam keadaan bertelanjang bulat.

Foto rakaman Nick Ut ini telah memenangi hadiah Pulitzer Prize tahun 1973. Selain foto ini menjadi ikon, ia juga merupakan salah satu imej yang memorable untuk kurun ke-20.

Pengarah filem After The River ini mahu mengvisualkan foto ikonik ini. Ketika rehearsal anak-anak orang kampung ini diarahkan untuk keluar dari pondok di tepi jalan kampung dan berlari sambil menangis.

Terlibat dalam babak itu seorang budak perempuan Melayu berusia dalam lingkungan lapan tahun dan beberapa budak lelaki serta perempuan yang berusia antara enam hingga 10 tahun. Kami juga diarah membakar tayar-tayar lama di bahagian belakang pondok untuk menampakkan seolah-olah asap dari guguran bom.

Selepas beberapa kali rehearsal, penggambaran pun dimulakan.

Bila pengarah jerit action tiba-tiba budak perempuan berusia lapan tahun itu keluar dari pondok tanpa seurat benang – bogel! Ini adalah konspirasi antara pengarah dengan unit kostum dan mekap.

Bayangkan seorang anak dara sunti diperlakukan begitu. Aku naik angin sebab pengarah itu menipu.

Ketika rehearsal berbaju tetapi ketika take lain jadinya. Aku tidak sanggup melihat anak kecil itu diperlakukan begitu. Aku dan kru-kru tempatan masing-masing memang ada parang kerana lokasi penggambaran kami itu di kawasan hutan di pinggir kampung.

Aku terus mencabut parang dari pinggang dan meluru ke depan kamera sambil menjerit supaya penggambaran dihentikan. Aku minta filem yang merakamkan shot tadi dikeluarkan dari kamera.

Jurukamera Perancis itu patuh dengan permintaanku walaupun pengarahnya cuba menghalang dan berkeras. Suasana jadi tegang dan hampir menumpahkan darah. Aku bertindak agresif melibaskan parang ke arah pengarah sambil menjerit meminta kain untuk menutup tubuh budak perempuan itu. Aku seperti hilang akal.

Pengurus produksi untuk unit tempatan, Shaharudin mengambil filem yang telah dikeluarkan dari kamera. Dia berusaha menenangkan aku dan beberapa kru lain yang hendak mengamuk.

Aku dan pengurus produksi membawa budak perempuan itu berjumpa tok penghulu dan melaporkan apa terjadi. Kami buat keputusan untuk memberhentikan penggambaran dan membuat laporan polis di Kuala Terengganu.

Pada sebelah petang satu sidang media diadakan di hotel penginapan kami. Pengarah Perancis itu cuba mempertahankan haknya sebagai pengarah atas dasar kerja seni dan kedudukannya sebagai produser yang mengeluarkan dana.

Dia meminta supaya penggambaran tidak dihentikan. Atas arahan polis mereka (unit produksi Perancis) diarahkan supaya balik ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu. Selepas sebulan produksi itu diarahkan untuk tidak menyambung penggambaran dan meninggalkan Malaysia.

Aku bertindak sedemikian kerana pengarah Perancis itu menipu. Dia beranggapan boleh buat apa saja dengan apa cara sekali pun untuk memenuhi tuntutan karya seninya kerana dia yang mengeluarkan dana untuk produksi itu.

Aku tidak sanggup melihat seorang anak dara sunti sebangsa dan seagama dengan aku diperlakukan begitu. Aku terfikir apa akan jadi kepada budak perempuan itu jika babak itu berjaya difilemkan dan ditayangkan di seluruh dunia. Berapa sangat dia dibayar.

Maruahnya akan tercemar sepanjang hidupnya. Aku tidak mahu bersubahat dengan pembikin-pembikin filem yang suka mengambil kesempatan ke atas orang-orang yang naif.

Paling aku marah pengarah Perancis itu tidak menghormati kami yang beragama Islam dan bulan Ramadan ketika itu. Hampir 33 tahun peristiwa di Setiu itu berlaku.

Ada kalanya aku terfikir apa terjadi kepada budak perempuan itu. Sekarang telah berusia dalam lingkungan awal 40-an. Aku harap dia berjaya dalam kehidupannya.

Pengajaran aku dapat dari peristiwa itu adalah - pengarah filem jangan cuba play GOD!

sumber: Sinar Harian

Dulu funfair sekarang konsert

 MINGGU ini sudah masuk yang ke empat aku menulis untuk kolum Lantera. Setakat ini banyak juga maklum balas aku dapat daripada kawan-kawan lama dan semasa. Daripada peminat-peminat lama dan baharu.

Tidak sangka masih ada peminat yang mahu mengikuti perkembangan aku. Terima kasih. Alhamdulillah.

Aku ada terjumpa seorang member lama yang sepatutnya sudah bersara, tapi kepakarannya masih diperlukan sebagai penasihat editorial. Kami tidak bertemu sudah hampir 25 tahun. Apa yang menarik hati aku ialah ungkapan pertamanya selepas kami bertanya khabar, bersalaman dan berpelukan ialah – “Sir, wartawan envelop (wartawan sampul surat) masih ada lagi!”

Aku hanya mampu tersenyum walau dalam hati bertanya mengapa perangai negatif ini sukar dihapuskan? Apakah bangsa aku makin hilang daya kemampuan membezakan haram dan halal? Sendiri mahu ingatlah!

Ada kawan-kawan beri semangat supaya menggunakan kolum ini untuk membersihkan nama aku yang tercalar selama hampir 30 tahun. Bersemangat kawan itu menyuruh aku membongkar apa yang selama ini tersorok di bawah karpet.

Aku juga menerima banyak pesanan ringkas. Salah satu adalah daripada pelakon dan pengarah filem Gangsterock – kasi sengat- Sofi Jikan. Pesanannya memang ringkas tapi tepat dan mantap - History Unfold.

Kita berdepan cuaca panas, kemarau, berjerebu, catuan air di Selangor dan Pilihan Raya Kecil Dun Kajang. Semua ini ditenggelamkan oleh peristiwa hilangnya pesawat MH370 pada 8 Mac lalu. Satu dunia tertumpu kepada peristiwa ini. Sehingga kini kehilangan MH370 masih belum bernoktah dengan kepastian muktamad.

Di celah-celah ketidakselesaan dan kecelaruan rutin hidup yang terpaksa kita semua lalui ini tiba-tiba tersiar berita tentang enam anak remaja kita meninggal dunia kerana pengambilan dadah berlebihan – overdose di konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA) yang berlangsung tiga hari di Stadium Bukit Jalil dari 13 hingga 15 Mac lalu. Konsert untuk hari ketiga dibatalkan kerana insiden itu dan 14 lagi dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

Berita insiden penonton konsert FMFA 2014 mati overdose kerana pengambilan dadah methamphetamine yang merupakan designer drug atau synthetic drug yang didatangkan dalam bentuk tablet atau pil bukan setakat disiar dalam akhbar tetapi lebih banyak tersiar dalam laman sosial di alam siber.

Aku mengikuti berita dan perkembangan insiden itu melalui YouTube dan blog-blog di internet. Dari apa aku baca dan saksikan membuat aku terfikir tentang betapa jauhnya perjalanan dan perubahan dalam budaya berhibur dan menonton konsert di negara kita ini.

Minda aku mula diterpa kenangan lama bagaimana aku mula mengenali dan tahu apa itu menonton konsert. Kegiatan atau aktiviti menonton konsert telah melalui evolusi yang panjang sehingga sampai ke tahap apa kita hadapi sekarang ini.

Aku lihat evolusi itu bermula dari pertunjukan atau konsert di tapak-tapak funfair pada tahun-tahun pertengahan 60an. Ketika itu orang ramai belum mengenali atau tahu perkataan konsert.

Paling tinggi mereka mengatakan show funfair. Aku masih ingat pada tahun 1966 ketika usia 12 tahun, pengalaman pertama menonton pertunjukan funfair aka konsert penyanyi popular angkatan pop-yeh-yeh.

Aku membesar di Alor Gajah, Melaka. Selalunya dalam setahun akan ada rombongan funfair datang ke pekan Alor Gajah. Selain gerai mainan, pentas joget dan judi, ada pentas kecil beratap zink dengan sistem bunyi menggunakan corong pembesar suara seperti kita lihat di menara-menara masjid sekarang.

Penyanyi pop-yeh-yeh yang popular ketika itu yang sempat aku tonton konsert mereka ialah Jefridin (Datuk) dan Allahyarham A Ramlie.

Pertunjukan paling hampir boleh dikatakan konsert yang aku tonton ialah yang menampilkan penyanyi-penyanyi dan kumpulan pop-yeh-yeh dari Singapura terdiri daripada Rickieno Badjuri dan The Cliffters. Penyanyi-penyanyi lain yang aku ingat turut serta ialah Hussein Ismail, Halim Yatim dan Jun Abdullah. Nyanyian mereka diiringi The Cliffters yang juga digelar The Rolling Stones of Singapore.

Pertunjukan ini diadakan di Dewan Hang Tuah merupakan dewan tertutup di bandar Melaka. Sambutan penonton sungguh hangat dan hebat. Aku ketika itu baharu menjejak kaki ke tingkatan dua.

Pada awal tahun 70an pengaruh dan kegilaan terhadap muzik pop-yeh-yeh mula berkurangan. Pertunjukan nyanyian yang diadakan masih belum boleh diklasifikasikan sebagai konsert.

Aku ingat lagi pertunjukan yang diadakan di padang bola di tengah-tengah pekan Alor Gajah masih menggunakan sistem bunyi corong. Antara penyanyi yang sempat aku tonton pertunjukan mereka ketika itu antaranya D.J Dave, Sharifah Aini, Allahyarham Ahmad Jais dan Allahyarham Saloma.

Dalam masa sama persembahan atau pertunjukan muzik yang menepati ciri-ciri sebuah konsert hanya mampu dilakukan di Kuala Lumpur, terutama di Stadium Negara. Ini dimungkinkan dengan kehadiran kumpulan-kumpulan dari luar negara seperti Santana, Bee Gees, The Hollies yang mengadakan konsert mereka di sekitar tahun 1972-73.

Perubahan besar berlaku pada 1984, apabila seorang promoter muda, Ali Bakar telah menganjurkan Konsert Raksasa Blues Gang dan Sweet Charity.

Dengan pentas lebih besar dan sistem bunyi menggunakan jumlah speaker yang lebih besar dan berkuasa tinggi serta sistem lampu yang terkini, maka bermulalah satu era baharu yang menepati konsep dan ciri-ciri sebuah konsert.

Tidak boleh dinafikan Blues Gang dan Sweet Charity adalah pelopor kepada persembahan berbentuk konsert sebenar. Ali Bakar telah membawa konsert raksasa ini melakukan tour menjelajah ke bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia.

Sekarang apa hubung kaitnya coretan di atas dengan  konsert Future Music Festival Asia 2014?

Aku mahu berkongsi pandangan dengan pembaca-pembaca muda dan yang berstatus otai. Dari zaman funfair hingga ke zaman konsert seperti FMFA 2014, aku dapati tujuan utama penonton datang adalah untuk berhibur. Itu sahaja.

Perbezaan antara show 50 tahun dulu dengan sekarang adalah dari segi peralatan pentas, sistem bunyi dan lampu, gimik persembahan seperti penggunaan pyrotechnic (kesan khas cahaya, bunyi dan asap) dan kecanggihan alat bantu visual seperti monitor LED.

Perangai penonton tetap sama. Jika 50 tahun lampau ketika menonton pertunjukan Jefridin di funfair aku tahu ada di antara penonton yang pangkat abang-abang pada aku menghisap ganja.

Aku tahu ketika aku menonton show D.J Dave, Sharifah Aini di padang bola Alor Gajah pada tahun-tahun awal 70an ada di antara penonton yang dating dengan pasangan masing-masing.

Pada tahun-tahun 80an aku berpeluang menonton konsert-konsert besar dari luar negara seperti konsert Deep Purple, Climax Blues Band dan juga konsert grup The Mercys dari Indonesia di Stadium Negara.

Di Stadium Merdeka aku menonton konsert Uriah Heep dan paling tidak dapat aku lupa konsert yang menggabungkan Blues Gang dari Malaysia dengan Heritage (Singapura) dan Ram Band (Hong Kong) – satu gabungan muzik blues, rock dan jazz. Konsert ini diadakan antara jam 3 hingga 6 petang.

Konsert-konsert di kedua stadium ini aku dapati perangai penonton sama saja, ada yang meneguk arak dan ada yang telah mengambil dadah sebelum masuk stadium.

Hanya di konsert Battle of The Bands di tapak pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 1986 terjadi penonton merusuh kerana terlalu teruja sehingga ada yang naik ke pentas dan mengganggu penonton lain. Timbul kekecohan mungkin kerana kawalan keselamatan yang longgar.

Kesimpulannya, dari zaman funfair sampai sekarang ciri-ciri perangai penonton konsert tidak banyak berubah. Ada yang datang hanya hendak menikmati muzik tanpa menelan dadah dan meneguk arak. Ada yang datang untuk enjoy dengan makwe dan pakwe masing-masing. Ada yang datang hendak ‘high' dan mabuk.

Beza konsert zaman dulu tidak ada diedarkan kondom dalam pek ringkas dengan tema ‘Party Hard, Party Safe, Take Care’. Perbezaan paling nyata ialah sekarang ada penonton mati overdose di tapak konsert!

Apakah perbezaan ini diketahui oleh pihak penganjur, promoter dan pihak berkuasa tetapi masih menutup sebelah mata atas sebab untuk menarik pelancong?

sumber: Sinar Harian

Suatu petang di pejabat Finas

 FESTIVAL Filem Malaysia ke-6 berlangsung pada 14 Disember 1986 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Salah satu dari filem-filem yang dipertandingkan ialah filem arahan aku, Kembara Seniman Jalanan (KSJ) terbitan ZSA Film Production Sdn Bhd.

Kalau tidak silap aku filem KSJ dicalonkan untuk kesemua kategori. Filem yang dinobatkan filem terbaik tahun itu ialah filem Tsu Feh Sofiah arahan Rahim Razali.

Ketika festival itu berlangsung, aku sedang mengarah filem kedua Rozana Cinta 87. Filem ini terbitan syarikat Amir Communication Sdn Bhd. Syarikat ini dipunyai oleh Allahyarham Harun Hassan (lebih mesra dengan panggilan Pak Harun), bekas wartawan dan penulis novel.

Novel beliau berjudul Bukan Salah Ibu Mengandung pernah diadaptasikan oleh Jins Shamsuddin untuk filem arahan pertamanya tahun 1969.

Pada malam penyampaian anugerah festival filem itu, ketua juri membuat pengumuman pada saat-saat akhir di atas pentas yang mengejutkan aku dan semua yang terlibat dalam filem KSJ.

Semua pencalonan filem KSJ ditolak atas sebab pelakon utama filem arahan aku itu, M Nasir bukan rakyat negara ini. Ketika itu, M Nasir belum memohon kerakyatan untuk menjadi rakyat Malaysia.

Reaksi pertama dan spontan aku adalah marah. Kenapa pengumuman dibuat pada saat-saat akhir? Kenapa kami tidak diberitahu awal-awal lagi. Lagipun syarat berkenaan tidak pernah dimaklumkan dari awal kepada aku dan produser KSJ, Zarul AlBakri.

Kenapa syarat ini tidak dimaklumkan kepada semua produser yang ada filem mereka dipertandingkan?

Aku menganggap ini satu tindakan yang tidak adil. Semua yang terlibat dalam produksi KSJ berasa dianiaya oleh penganjur dan pihak yang bertanggungjawab dalam penjurian festival filem itu.

Terlalu banyak persoalan yang menghantui minda aku ketika itu. Aku boleh terima tindakan panel juri itu jika pencalonan untuk M Nasir sahaja dibatalkan kerana dia bukan rakyat negara ini ketika itu. M Nasir dicalonkan untuk anugerah pelakon lelaki terbaik, penataan muzik dan kalau tidak silap aku pencalonan untuk skrip asal terbaik.

Kenapa pencalonan-pencalonan lain yang tidak melibatkan M Nasir turut dibatalkan? Kenapa aku dan tenaga produksi yang lain menjadi mangsa?

Pencalonan untuk pengarah terbaik, fotografi terbaik, suntingan terbaik, penataan seni terbaik, screenplay terbaik dan pencalonan pelakon wanita terbaik serta pelakon pembantu wanita terbaik menjadi mangsa. Begitu juga pencalonan pelakon pembantu lelaki terbaik yang mencalonkan Pyan Habib turut dibatalkan.

Ironinya, Pyan Habib diumumkan pemenang anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui filem Tsu Feh Sofia. Pyan naik ke pentas bukan untuk menerima tetapi untuk menolak award itu.

Menurut Pyan watak yang diperankannya dalam Tsu Feh Sofia terlalu kecil untuk membolehkannya memenangi award tersebut berbanding dengan watak Osman Tikus yang diperankannya dalam KSJ.

Pada keesokan harinya, tersiar dalam akhbar-akhbar berita jemaah juri mengatakan filem KSJ adalah karya plagiat dan bukan karya asli. Aku dituduh menciplak cerita KSJ pula!

Aku mengesyaki wujud satu usaha untuk sabotaj filem arahan aku itu. Apatah lagi ketika itu aku sedang sibuk dengan penggambaran Rozana Cinta 87. Penumpuan kerja mengarah aku terganggu dengan tidak cukup tidur dan ditambah dengan tekanan mengejar masa untuk menyudahkan penggambaran.

Aku berpendirian jemaah juri tidak konsisten dalam menjalankan pengadilan. Mereka membatalkan semua pencalonan KSJ kerana isu M Nasir bukan warga Malaysia, tetapi filem Suara Kekasih terbitan Amir Communication yang turut sama dipertandingkan tidak pula dibatalkan penyertaan, sedangkan pengarahnya Ida Farida, warganegara Indonesia! Kenapa juri bersikap double standard?

Mengenai isu ciplak yang dibangkitkan sehari selepas malam anugerah itu menambahkan lagi kecelaruan juri-juri untuk menjustifikasikan tindakan mereka membatalkan pencalonan KSJ.

Untuk mendapat kepastian tuduhan ciplak itu, aku bertanya M Nasir apa yang terjadi sebelum dia berjumpa dan meminta aku menulis screenplay dan mengarah KSJ.

Menurut M Nasir, dia ada meminta Hamzah Hussain untuk menulis screenplay filem KSJ berdasarkan skrip dan idea asalnya sebelum berjumpa dengan aku. Hamzah ialah penulis veteran - skrip filem, novel, cerpen dan juga seorang penyelidik filem yang
berpengetahuan luas tentang sejarah dan perkembangan filem Melayu dari zaman Shaw Brothers dan Cathay Keris.

Mengikut M Nasir, dia tidak berpuas hati dan menolak screenplay yang dihasilkan oleh Hamzah. Aku rasa ini terjadi kerana ketiadaan keserasian idea orang lama dengan idea generasi muda. Kebanyakan kami ketika itu rata-ratanya berusia lewat dua puluhan dan awal tiga puluhan.

Cerita asal KSJ mengisahkan perjuangan seorang anak muda dari kampung datang ke bandar untuk menjadi penyanyi. Selepas mengharungi berbagai kesulitan dan dugaan, akhirnya dia berjaya mencapai impiannya.

Aku menghasilkan screenplay KSJ berdasarkan skrip asal M Nasir yang tidak ada langsung menyentuh tentang isu cetak rompak.

Isu cetak rompak menjadi sebahagian dari naratif KSJ setelah aku, M Nasir, Ito dan Zarul Albakri berbincang dan setuju untuk isu itu dijadikan subplot filem KSJ.

Jadi di mana logiknya yang pihak juri mengatakan aku menciplak? Kami tidak memandang rendah ketokohan Hamzah. Tapi kami yakin dan pasti Hamzah tidak berupaya untuk membawa isu cetak rompak dalam screenplay yang dihasilkannya itu.

Aku tidak pernah meminta daripada M Nasir untuk membaca screenplay tulisan Hamzah itu. M Nasir juga tidak pernah menunjukkan kepada aku screenplay tersebut. Kami juga mendapat maklumat Hamzah merupakan salah seorang juri Festival Filem Malaysia ke-6 pada tahun itu.

Untuk pengetahuan - Hamzah Hussain meninggal dunia pada 21 April 2007 ketika berusia 80 tahun. Al-fatihah untuk rohnya.

Akhirnya, aku membuat keputusan untuk bertemu dan meminta penjelasan daripada Ketua Pengarah Finas ketika itu, Zain Hamzah (Datuk). Ditemani pengurus produksi Rozana Cinta 87, aku ke pejabat Finas yang ketika itu terletak di Jalan Ampang bersebelahan bangunan kedutaan Perancis sekarang.

Kami tiba lebih kurang jam 2.30 petang. Aku mahukan penjelasan kenapa KSJ dibatalkan kesemua pencalonannya pada saat akhir dan kenapa aku dituduh menciplak cerita KSJ. Mana bukti KSJ adalah hasil karya plagiat atau ciplak.

Aku kecewa apabila Finas ketika itu gagal memberi penjelasan dengan alasan tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut. Aku akui perasaan ketika itu bercampur baur antara marah, sakit hati dan geram. Aku memaki hamun, meluru keluar dan ketika itu seorang pegawai cuba masuk campur, dia cuba memukul aku dengan sebuah fail berkulit keras. Aku berjaya menepis dan menolaknya ke dinding. Kemarahan aku telah sampai peringkat maksimum.

Aku terus keluar untuk bertemu dengan pengurus produksi aku yang menunggu di luar pintu masuk utama. Aku ternampak batu-bata di atas rumput di depan pintu utama. Aku terfikir lebih baik aku pecahkan pintu kaca utama Finas itu daripada aku pecahkan muka-muka mereka. Aku ambil sebiji batu, tetapi pengurus produksi menghalang dengan memegang dan memeluk aku dari belakang. Kami terjatuh tetapi aku berjaya lepaskan diri. Dengan sebiji batu di tangan kanan aku terus melontar ke pintu
kaca itu, prang... berderai dan berkecai serpihan ke lantai.

Pengurus produksi menarik aku masuk ke dalam kereta. Kami balik ke pejabat Pak Harun meneruskan penggambaran Rozana Cinta 87 untuk hari itu.

Keesokan harinya tersiar di akhbar kejadian itu. Finas buat laporan polis. Maka bermulalah sejarah pertembungan antara aku dengan Finas.

sumber: Sinar Harian

KSJ tutup peluang mengarah

MINGGU lalu aku ada berjanji untuk menceritakan kenapa aku sehingga sekarang hanya mampu mengarah dua fi lem sahaja iaitu Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Rozana Cinta 87 (1987).

Cukuplah aku menceritakan secara jujur apa yang pernah aku alami selama ini. Aku bukan mahu menghukum atau membalas dendam. Aku hanya mahu menceritakan sejujur yang boleh tentang apa sebenarnya terjadi - the truth!

Aku manusia yang berpegang pada prinsip berani kerana benar! Aku berpegang kuat dan yakin pada katakata novelis tersohor dunia, Ernest Hemingway – ‘Manusia berprinsip mungkin boleh dibinasakan tetapi tidak boleh dikalahkan!’

Hampir 30 tahun telah berlalu filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) ditayangkan.

Filem inilah yang memperkenalkan M Nasir yang memainkan peranan watak utama Bujang dan Jebat. Filem ini jugalah yang menampilkan kumpulan rock Search buat pertama kalinya sebelum meletup dan menjadi ikon muzik rock Malaysia.

KSJ membuka ruang untuk aku menjadi pengarah fi lem. Dalam masa sama fi lem ini juga boleh aku katakan seperti menutup ruang untuk aku terus berkarya dan mengarah. Pelik bunyinya kan?

Tapi itulah kenyataan yang terpaksa aku hadapi dan lalui. Aku terpaksa melalui satu perjalanan hidup seni yang sungguh memeritkan sejak dari tahun 1988 hingga sekarang.

Satu keperitan untuk berjuang mendapatkan hak dan peluang bagi aku terus berkarya.

Memang benar attitude iaitu sikap, pandangan dan prinsip hidup seseorang karyawan seni itu pasti akan terpercik secara langsung atau tidak, dan secara sedar atau tidak dalam karya-karyanya.

Attitude yang dibawa dan cuba dilahirkan melalui KSJ adalah attitude melawan, sikap menentang ketidakadilan dan sikap berani menuntut hak dan kebenaran seni seorang seniman.

Isu yang diangkat oleh KSJ adalah mengenai cetak rompak. Cetak rompak, terutama lagu-lagu Melayu merupakan isu yang telah berlarutan sejak dari tahun 60an. Sejak zaman Allahyarham P Ramlee lagi.

Memang benar sebelum KSJ, tidak ada langsung fi lem-fi lem Melayu yang menyentuh atau cuba memaparkan isu ini.

Aku dan M Nasir, Ito (Blues Gang), Zarul Albakri (produser) yang terlibat memproduksikan fi lem KSJ ketika itu berasakan sudah sampai masanya isu cetak rompak ini diketengahkan dalam fi lem kita.

Bangsa Melayu perlu disedarkan. Selama ini karyawan-karyawan Melayu ditipu dan ditindas oleh lanun cetak rompak yang menghisap darah mereka. Nasib mereka tiada pembelaan daripada pihak berwajib.

Manifestasi penentangan kami terhadap kegiatan lanun cetak rompak ini kami garapkan melalui fi lem KSJ. Kami tidak berselindung. Kami berterus terang dengan protes kami itu.

Cuba perhatikan dialog-dialog yang dilontarkan oleh Bujang/Jebat dalam salah satu babak di penghujung fi lem KSJ –“Pencipta lagu... Melayu, pengubah lagu Melayu, penyanyi Melayu, pemuzik Melayu... pembeli pun Melayu! Tapi yang untung siapa?”
“Lanun mata sepet!”

Aku dapati apabila KSJ ini ditayangkan pada umum mulai Februari 1986 maka banyak pihak yang terasa panas punggung dan terasa pedas bagai termakan cili.

KSJ disabotaj tayangannya. Aku bersama beberapa kawan membuat serbuan di pawagam-pawagam di bandar-bandar Pulau Pinang dan Alor Star selepas mendapat aduan penonton yang tidak puas hati dengan jalan cerita terputus-putus.

Mereka merungut tidak faham jalan cerita KSJ.

Kami dapati ada pihak yang cuba sabotaj tayangan KSJ. Modus operandi mereka adalah dengan mempercepatkan pertukaran reel dari satu projektor ke satu lagi projektor.

Semua pawagam akan menggunakan dua projektor untuk menayangkan filem. Cara ini memudahkan pertukaran reel filem yang sedang ditayangkan supaya penonton akan terus dapat menonton tanpa menunggu si pengendali projektor menukar reel jika hanya satu projektor digunakan.

Kami dapati si pengendali projektor diarah oleh tauke panggung untuk menukar reel yang sedang diputar melalui projektor pertama sebelum reel itu tamat dan ditukar ke reel di projektor kedua.

Apa yang terjadi ialah ada babak yang sepatutnya muncul di penghujung reel di projektor satu contohnya tidak dapat ditonton oleh penonton kerana telah ditukar kepada reel baharu di projektor kedua sebelum tiba masanya.

Apa yang terjadi kepada penonton ketika itu? Hasil sabotaj terancang ini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti perjalanan cerita KSJ dengan tersusun. Ada babak demi babak ditebuk sehingga jalan cerita jadi kelam kabut dan terputus-putus.

Akhirnya, penonton jadi tidak faham dan kalut. Apa yang kami dapati kebanyakan babak melibatkan watak-watak lanun cetak rompak.

Ini adalah insiden-insiden yang kami dapat kesan berlaku di Pulau Pinang dan Alor Star. Bagaimana di bandar-bandar lain? Aku yakin sabotaj ini berlaku kerana kami menerima juga aduan daripada penonton-penonton dari bandar-bandar lain.

Kami tidak mampu untuk pergi ke setiap bandar dan ke semua panggung yang menayangkan KSJ ketika itu.

Hambatan masa dan masalah logistik menjadi penghalang.

Tetapi di pawagam Coliseum di Kuala Lumpur tidak pula berlaku. Aneh dan menghairankan juga. Mungkin dalang sabotaj ini berasakan kami semua bermastautin di Kuala Lumpur dan peluang untuk mengesan mereka lebih mudah.

Mungkin ada pembaca yang tertanya sama ada aku ada buat laporan polis atau tidak. Aku masih ingat kami buat laporan polis di Pulau Pinang.

Tetapi hingga ke hari ini tiada tindakan dan perkembangan, senyap dan terus ditelan masa sudah hampir 30 tahun!

Aku juga terpaksa berdepan dengan kerenah wartawan media cetak (ramai di antara mereka kini sudah bersara).

Mereka memprotes babak di mana watak wartawan hiburan, Ana yang diperankan oleh Khatijah Ibrahim cuba disogok dengan suapan wang dalam sampul surat oleh tauke syarikat rakaman Encik Johan yang diperankan oleh Majid Salleh.

Zaman itu ada golongan wartawan hiburan (bukan semua) yang dikenali sebagai wartawan ‘envelope’ atau wartawan sampul surat.

Ini panggilan popular untuk wartawanwartawan yang sanggup menerima rasuah untuk menaikkan artis-artis dari syarikat rakaman tertentu.

Aku kurang pasti sama ada golongan wartawan dan aktiviti seperti itu masih wujud lagi atau tidak sekarang.

Jelas dalam babak itu watak Ana tidak membuat aksi mengambil sampul surat yang diberikan oleh Encik Johan. Aku pun tidak memberi arahan mengambil sampul surat itu.

Babak itu aku akhiri dengan watak Ana teragak-agak mahu ambil atau tidak sampul surat itu. Aksi atau action yang tergantung.

Isu itu telah membuat hubungan aku dengan sebahagian wartawan hiburan ketika itu menjadi kurang mesra. Aku diboikot oleh sebahagian wartawan hiburan yang majoritinya dari satu syarikat akhbar tertua di negara kita ini. Namun aku bersyukur masih
ramai lagi wartawan hiburan dari syarikat lain yang faham apa aku cuba sampaikan.

Kemuncak kepada semua ini adalah apabila KSJ ditolak pencalonannya pada saat-saat akhir di Festival Filem Malaysia 1987. Insiden inilah punca yang mencetuskan penentangan dan konfrontasi antara aku dengan Finas.

Aku rasa senario atau latar belakang suasana yang aku ceritakan di atas sudah cukup setakat ini bagi pembaca memahami titik mula aku berdepan dengan situasi yang menghalang aku terus mengarah filem.

Aku akan ceritakan tentang pertembungan aku dengan Finas ini minggu depan, insya-ALLAH.