Tuesday, May 13, 2014

3 dekad karyawan 'rebel'

PERTAMANYA aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kumpulan Media Karangkraf dan sidang pengarang Sinar Harian kerana memberi aku peluang dan ruang untuk menulis dalam kolum/ruangan pojok Zass ini. Terima kasih banyak.

Selepas temu ramah melalui telefon mengenai perkembangan terkini aku dalam bidang seni terutamanya dalam pengarahan filem tersiar dalam keluaran Sinar Harian bertarikh 10 Februari 2014, aku seperti dikejutkan dari tidur yang panjang.

Tanpa aku sedari sudah hampir tiga dekad aku mengharungi dunia seni tanah air dalam kapasiti seorang karyawan filem – seorang pengarah filem dan seorang ‘film maker’.

Kepada pembaca yang berumur bawah 40 tahun, mungkin ramai tidak mengenali siapa aku dan filem-filem serta kerjakerja seni yang pernah aku hasilkan.





Nasir Jani

Bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas rasanya akan tahu dan sekurangkurangnya pernah mendengar kalau tidak berkesempatan menonton filem-filem yang pernah aku arahkan.

Aku pasti ramai diantara golongan ini yang tahu apa yang aku pernah tempuhi dan alami selama ini melalui berita dan artikel-artikel tentang aku di media cetak dan elektronik.

Aku sering dicap sebagai karyawan dan pengarah filem yang kontroversial, panas baran, kaki melawan - seorang ‘rebel’.

Mengapa dan kenapa aku melawan dan ‘rebel’ tidak siapa yang mahu tahu atau bertanya kepada aku. Apa sebab yang boleh membuat aku bertindak demikian? Aku pula tidak pernah diberi ruang dan peluang untuk memberi penjelasan.

Dengan peluang menulis dalam kolum ini, aku harap dapat memberi penjelasan dan membetulkan tanggapan negatif yang dilontar dan dilabelkan pada diri aku selama ini. Insya-ALLAH.

Sepanjang perjalanan hidup seni aku selama ini, aku lebih banyak mengalami pengalaman seni yang pahit dari yang manis selama hampir 30 tahun yang lalu. Keadaan ini masih belum berubah. Tetapi aku terus bertahan dan yang pasti aku mahu terus berkarya dan mengarah filem.

Aku hanya mampu mengarah dua filem sehingga setakat ini. Filem "Kembara Seniman Jalanan" (1986) dan "Rozana Cinta 87" (1987). Kenapa? Bila ada pihak seperti Sinar Harian yang mahu menemu bual dan bertanya khabar terkini tentang diri aku dan
perkembangan kegiatan seniku, aku jadi terkejut dan juga bersyukur. Masih ada pihak yang ingat aku lagi. Terima kasih.

Renjatan kejutan ini seperti melontar aku jauh ke ruang imbas kembali atau ‘flashback’.

Aku mula berfikir tentang apa yg telah aku lalui selama tiga dekad yg lalu. Diam tak diam jauh juga perjalanan hidup aku dalam seni hiburan tanah air.

Pastinya ‘flashback’ pertama menerpa minda aku ialah bila dan bagaimana aku mula terlibat dalam bidang filem. Seringkas mungkin aku akan cuba ceritakan latar belakang dan macam mana aku mula terlibat dalam bidang perfileman tanah air.

Aku adalah graduan dalam kursus Sebaran Am (Mass Communication). Aku berjaya memperoleh Diploma in Mass Communication (Advertising) dari Institut Teknologi Mara (ITM ) yang sekarang UiTM , Shah Alam pada tahun 1977.

Aku sempat bekerja di sebuah agensi iklan di antara pertengahan 1977 hingga 1978. Selepas itu aku mula terbabit dalam bidang perfileman mulai tahun 1978.

Aku memulakan kerjaya filem dengan terlibat dalam pembikinan filem-filem iklan. Aku menimba pengalaman di syarikat filem iklan bernama Producers Film Services Sdn. Bhd. atau singkatannya Profilm yg terletak di Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak) atau lebih dikenali jalan Simpang Flat oleh orang-orang lama KL.

Tokoh yang bertanggungjawab membimbing dan memberi aku peluang dalam bidang filem ialah Encik Othman Hafsham.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Hafsham merupakan sifu atau tok guru aku dalam filem. Beliau juga adalah salah seorang pemilik syarikat Profilm. Syarikat ini ditutup pada tahun awal 90an.

Sejak itu Hafsham menubuhkan syarikatnya sendiri Cinematic Sdn Bhd yang banyak menerbitkan program untuk stesen TV berbentuk sitkom seperti Pi Mai Pi Mai yang meletup dan popular di tahun-tahun akhir ‘80an dan awal ‘90an.

Di Profilm aku mendapat peluang mengarah filem iklan pertamaku iaitu iklan kereta terbaharu keluaran syarikat Nissan Datsun ketika aku berumur 25 tahun.
Selepas 4 tahun di Profilm, aku memberanikan diri untuk bergiat sebagai seorang freelancer dengan penumpuan kepada bidang ‘art direction’ dan bidang pengarahan sebagai penolong pengarah.

Senarai filem-filem yang aku terlibat sebagai penolong pengarah dan pengarah seni – "Kami" (1981) arahan Patrick Yeoh, "Mekanik" (1983) arahan Hafsham, "Mati Seorang Patriot" (1984) arahan Rahim Razali dan "Maria" (1984) arahan Shuhaimi Baba untuk tayangan di TV3.

Tujuan utama aku melibatkan diri sebagai penolong pengarah dalam produksi filem-filem tersebut kerana aku ingin menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam kerja-kerja pengarahan filem cereka walaupun aku sudah mula mengarah filem-filem iklan ketika itu.

Aku akan ceritakan pengalaman penglibatan aku dalam produksi filem-filem itu dalam tulisan-tulisan aku yang akan datang, insya-ALLAH.

Di antara pengarah-pengarah filem seangkatan dengan aku yang produktif pada tahun 80an dan awal 90an ialah Hafsham, Rahim Razali, Shahrom Mohd Dom, Shuhaimi Baba, Adman Salleh, Yassin Salleh, Yusuf Haslam, Aziz M Osman, Mahadi J Murat, Raja Ahmad Alauddin, Mansor Puteh dan Uwei Hj Shaari.

Ramai di antara mereka yang masih mengarah filem sehingga sekarang melainkan nama-nama seperti Shahrom Mohd Dom dan Yassin Salleh. Tidak ada filem terbaharu daripada Shahrom Mohd Dom selepas filem "Langit Petang" (1982) merupakan adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Begitu juga dengan Yassin Salleh, seorang penulis, penyajak dan aktivis teater yang sehingga kini tiada lagi filem terbaru daripadanya selepas menghasilkan filem "Hanny" pada awal tahun 1993.

Kenapa aku tidak seproduktif pengarah-pengarah seangkatan dengan aku mengarah filem? Kenapa aku tidak mengarah filem selepas filem kedua aku – "Rozana Cinta 87" (1987)? Panjang ceritanya. Aku akan mula ceritakan dalam tulisan aku minggu depan.

Bertemu lagi minggu depan dengan ‘flashback-flashback’ yang lain.

sumber: Sinar Harian

No comments: