Tuesday, May 13, 2014

Nasib baik aku mengamuk!

 DENGAN tersiarnya artikel 'Kenapa aku marah lagi' minggu lalu, makin ramai mula faham kenapa selama ini aku bertindak menentang arus. Ramai juga bertanya aku maksud ungkapan 'persona non grata' di akhir artikel aku itu.

Ada yang ingat lagi Persona Non Grata adalah tajuk filem arahan Syed Azidi pada 2006.

Dalam pengertian mudah 'persona non grata' adalah individu yang tidak punya tempat bermastautin – stateless person.

Aku hanya sedar apa aku lalui selama ini menggolongkan aku sebagai manusia berstatus 'persona non grata' selepas membaca buku Malaysian Cinema In A Bottle (2013) tulisan Hassan Abd Muthalib, seorang pengkritik dan pengkaji sejarah filem Malaysia.

Aku berkesempatan membaca buku terbaharu Hassan itu awal tahun ini.

Dalam salah satu bab, Hassan menceritakan tentang attitude, sikap rebel dan penentangan aku terhadap birokrasi Finas. Hassan merumuskan aku menjadi 'persona non grata' kerana kelantangan aku memprotes membuat produser-produser filem tidak berani mengambil risiko untuk aku mengarah filem-filem terbitan mereka.

Diringkaskan cerita, aku wujud dalam industri filem tanah air tetapi tiada peluang dan ruang untuk mengarah filem. Wujud tetapi sama macam tidak wujud! Macam mana tu?


Perang Vietnam,  filem dan aku...

Aku teringat pengalaman hidup aku lalui awal tahun 80-an. Lebih tepat kejadian pada Julai 1981 bersamaan Ramadan 1401 Hijrah.

Selepas aku berhenti dari Profilm aku cuba bekerja secara freelance. Tugasan pertama aku sebagai penolong pengarah freelance adalah untuk satu produksi besar bertaraf antarabangsa.

Aku berpeluang menjadi penolong pengarah ketiga produksi dari Perancis untuk filem After The River. Filem ini mengisahkan sekumpulan kanak-kanak Vietnam yang melarikan diri dari perang yang sedang mengganas antara Amerika dengan Vietnam Utara.

Perang antara fahaman demokrasi (Amerika dan Vietnam Selatan) dengan fahaman komunisme (Vietnam Utara dan Rusia). Perang Vietnam ini terjadi antara 1957 hingga 30 April 1975 dengan kekalahan di pihak Amerika dan Vietnam Selatan.

Melakonkan watak kanak-kanak Vietnam adalah kanak-kanak Malaysia dari bangsa Cina dan Melayu. Rata-rata dalam lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun. Lokasi untuk penggambaran adalah di Terengganu.

Memang satu pengalaman gempak bagi seorang anak muda seperti aku yang baharu memulakan kerjaya dalam bidang filem cereka ketika itu. Tugas aku memastikan lokasi dan logistik melibatkan krew tempatan dalam keadaan tersusun dan siap siaga. Tenaga kerja terlibat dalam produksi ini terdiri dari Perancis dan tempatan berjumlah hampir 60 orang.

Tidak ada banyak hotel di bandar Kuala Terengganu ketika itu. Tidak silap aku hampir semua bilik di Hotel Warisan kami borong. 

Produksi ini bergerak dalam unit yang besar. Setiap hari kami bergerak dari hotel menuju ke lokasi penggambaran dengan empat buah bonded van membawa peralatan kamera, lampu dan generator.

Pelakon utama, pelakon extra, kru Perancis dan kru tempatan dengan dua bas besar berhawa dingin. Selain itu, ada lebih kurang tujuh van untuk keperluan kostum, mekap, prop, makanan dan minuman.

Paling aku ingat ada satu van khas untuk unit perubatan terdiri daripada seorang doktor dan dua jururawat didatangkan dari Perancis.

Ini kali pertama aku ikut shooting yang siap dengan doktor di lokasi penggambaran.

Dari segi peralatan pula, aku dapat pengalaman bekerja dengan unit kamera yang menggunakan kamera jenis Panavision. Sebelum ini ketika aku di Profilm ada juga peluang bekerja dengan pengarah-pengarah filem iklan dari England dan Australia yang guna kamera jenis Panavision.

Penggambaran After The River ini adalah pengalaman pertama aku dengan unit kamera menggunakan Panavision untuk filem cereka. Bezanya penggambaran 33 tahun dulu dengan sekarang cuma satu – kami tidak ada peralatan video assist ketika itu.

Selepas seminggu penggambaran, kami memasuki bulan Ramadan. Hari pertama puasa kami buat penggambaran di sebuah kampung di kawasan Setiu, Hulu Terengganu.

Adegan hari itu melibatkan sekumpulan kanak-kanak pelakon tambahan yang dipilih daripada anak-anak penduduk kampung itu. Adegan yang mahu diambil oleh pengarah filem itu berdasarkan satu kejadian benar serangan askar Amerika dan Vietnam Selatan ke atas Kampung Trang Bang pada 8 Jun 1972 ketika perang Vietnam sedang memuncak.

Dalam serangan untuk mencari askar-askar Vietnam Utara yang dikenali sebagai Vietcong, pihak Amerika telah menggugurkan bom jenis Napalm. Bom api kimia ini dilarang penggunaannya dalam perang oleh Badan Hak Asasi Manusia Sedunia.

Peristiwa ini dirakam dalam bentuk foto oleh jurugambar berbangsa Vietnam bernama Nick Ut yang bertugas dengan Associated Press (AP). Foto yang merakam wajah seorang budak perempuan berusia sembilan tahun berlari menangis kesakitan akibat terkena bom Napalm yang membakar belakang tubuhnya. Dia berlari dalam keadaan bertelanjang bulat.

Foto rakaman Nick Ut ini telah memenangi hadiah Pulitzer Prize tahun 1973. Selain foto ini menjadi ikon, ia juga merupakan salah satu imej yang memorable untuk kurun ke-20.

Pengarah filem After The River ini mahu mengvisualkan foto ikonik ini. Ketika rehearsal anak-anak orang kampung ini diarahkan untuk keluar dari pondok di tepi jalan kampung dan berlari sambil menangis.

Terlibat dalam babak itu seorang budak perempuan Melayu berusia dalam lingkungan lapan tahun dan beberapa budak lelaki serta perempuan yang berusia antara enam hingga 10 tahun. Kami juga diarah membakar tayar-tayar lama di bahagian belakang pondok untuk menampakkan seolah-olah asap dari guguran bom.

Selepas beberapa kali rehearsal, penggambaran pun dimulakan.

Bila pengarah jerit action tiba-tiba budak perempuan berusia lapan tahun itu keluar dari pondok tanpa seurat benang – bogel! Ini adalah konspirasi antara pengarah dengan unit kostum dan mekap.

Bayangkan seorang anak dara sunti diperlakukan begitu. Aku naik angin sebab pengarah itu menipu.

Ketika rehearsal berbaju tetapi ketika take lain jadinya. Aku tidak sanggup melihat anak kecil itu diperlakukan begitu. Aku dan kru-kru tempatan masing-masing memang ada parang kerana lokasi penggambaran kami itu di kawasan hutan di pinggir kampung.

Aku terus mencabut parang dari pinggang dan meluru ke depan kamera sambil menjerit supaya penggambaran dihentikan. Aku minta filem yang merakamkan shot tadi dikeluarkan dari kamera.

Jurukamera Perancis itu patuh dengan permintaanku walaupun pengarahnya cuba menghalang dan berkeras. Suasana jadi tegang dan hampir menumpahkan darah. Aku bertindak agresif melibaskan parang ke arah pengarah sambil menjerit meminta kain untuk menutup tubuh budak perempuan itu. Aku seperti hilang akal.

Pengurus produksi untuk unit tempatan, Shaharudin mengambil filem yang telah dikeluarkan dari kamera. Dia berusaha menenangkan aku dan beberapa kru lain yang hendak mengamuk.

Aku dan pengurus produksi membawa budak perempuan itu berjumpa tok penghulu dan melaporkan apa terjadi. Kami buat keputusan untuk memberhentikan penggambaran dan membuat laporan polis di Kuala Terengganu.

Pada sebelah petang satu sidang media diadakan di hotel penginapan kami. Pengarah Perancis itu cuba mempertahankan haknya sebagai pengarah atas dasar kerja seni dan kedudukannya sebagai produser yang mengeluarkan dana.

Dia meminta supaya penggambaran tidak dihentikan. Atas arahan polis mereka (unit produksi Perancis) diarahkan supaya balik ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu. Selepas sebulan produksi itu diarahkan untuk tidak menyambung penggambaran dan meninggalkan Malaysia.

Aku bertindak sedemikian kerana pengarah Perancis itu menipu. Dia beranggapan boleh buat apa saja dengan apa cara sekali pun untuk memenuhi tuntutan karya seninya kerana dia yang mengeluarkan dana untuk produksi itu.

Aku tidak sanggup melihat seorang anak dara sunti sebangsa dan seagama dengan aku diperlakukan begitu. Aku terfikir apa akan jadi kepada budak perempuan itu jika babak itu berjaya difilemkan dan ditayangkan di seluruh dunia. Berapa sangat dia dibayar.

Maruahnya akan tercemar sepanjang hidupnya. Aku tidak mahu bersubahat dengan pembikin-pembikin filem yang suka mengambil kesempatan ke atas orang-orang yang naif.

Paling aku marah pengarah Perancis itu tidak menghormati kami yang beragama Islam dan bulan Ramadan ketika itu. Hampir 33 tahun peristiwa di Setiu itu berlaku.

Ada kalanya aku terfikir apa terjadi kepada budak perempuan itu. Sekarang telah berusia dalam lingkungan awal 40-an. Aku harap dia berjaya dalam kehidupannya.

Pengajaran aku dapat dari peristiwa itu adalah - pengarah filem jangan cuba play GOD!

sumber: Sinar Harian

No comments: