MINGGU lalu aku ada berjanji untuk menceritakan kenapa aku sehingga
sekarang hanya mampu mengarah dua fi lem sahaja iaitu Kembara Seniman
Jalanan (1986) dan Rozana Cinta 87 (1987).
Cukuplah aku menceritakan secara jujur apa yang pernah aku alami selama
ini. Aku bukan mahu menghukum atau membalas dendam. Aku hanya mahu
menceritakan sejujur yang boleh tentang apa sebenarnya terjadi - the
truth!
Aku manusia yang berpegang pada prinsip berani kerana benar! Aku
berpegang kuat dan yakin pada katakata novelis tersohor dunia, Ernest
Hemingway – ‘Manusia berprinsip mungkin boleh dibinasakan tetapi tidak
boleh dikalahkan!’
Hampir 30 tahun telah berlalu filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) ditayangkan.
Filem inilah yang memperkenalkan M Nasir yang memainkan peranan watak
utama Bujang dan Jebat. Filem ini jugalah yang menampilkan kumpulan rock
Search buat pertama kalinya sebelum meletup dan menjadi ikon muzik rock
Malaysia.
KSJ membuka ruang untuk aku menjadi pengarah fi lem. Dalam masa sama fi
lem ini juga boleh aku katakan seperti menutup ruang untuk aku terus
berkarya dan mengarah. Pelik bunyinya kan?
Tapi itulah kenyataan yang terpaksa aku hadapi dan lalui. Aku terpaksa
melalui satu perjalanan hidup seni yang sungguh memeritkan sejak dari
tahun 1988 hingga sekarang.
Satu keperitan untuk berjuang mendapatkan hak dan peluang bagi aku terus berkarya.
Memang benar attitude iaitu sikap, pandangan dan prinsip hidup
seseorang karyawan seni itu pasti akan terpercik secara langsung atau
tidak, dan secara sedar atau tidak dalam karya-karyanya.
Attitude yang dibawa dan cuba dilahirkan melalui KSJ adalah attitude
melawan, sikap menentang ketidakadilan dan sikap berani menuntut hak dan
kebenaran seni seorang seniman.
Isu yang diangkat oleh KSJ adalah mengenai cetak rompak. Cetak rompak,
terutama lagu-lagu Melayu merupakan isu yang telah berlarutan sejak dari
tahun 60an. Sejak zaman Allahyarham P Ramlee lagi.
Memang benar sebelum KSJ, tidak ada langsung fi lem-fi lem Melayu yang menyentuh atau cuba memaparkan isu ini.
Aku dan M Nasir, Ito (Blues Gang), Zarul Albakri (produser) yang
terlibat memproduksikan fi lem KSJ ketika itu berasakan sudah sampai
masanya isu cetak rompak ini diketengahkan dalam fi lem kita.
Bangsa Melayu perlu disedarkan. Selama ini karyawan-karyawan Melayu
ditipu dan ditindas oleh lanun cetak rompak yang menghisap darah mereka.
Nasib mereka tiada pembelaan daripada pihak berwajib.
Manifestasi penentangan kami terhadap kegiatan lanun cetak rompak ini
kami garapkan melalui fi lem KSJ. Kami tidak berselindung. Kami berterus
terang dengan protes kami itu.
Cuba perhatikan dialog-dialog yang dilontarkan oleh Bujang/Jebat dalam
salah satu babak di penghujung fi lem KSJ –“Pencipta lagu... Melayu,
pengubah lagu Melayu, penyanyi Melayu, pemuzik Melayu... pembeli pun
Melayu! Tapi yang untung siapa?”
“Lanun mata sepet!”
Aku dapati apabila KSJ ini ditayangkan pada umum mulai Februari 1986
maka banyak pihak yang terasa panas punggung dan terasa pedas bagai
termakan cili.
KSJ disabotaj tayangannya. Aku bersama beberapa kawan membuat serbuan
di pawagam-pawagam di bandar-bandar Pulau Pinang dan Alor Star selepas
mendapat aduan penonton yang tidak puas hati dengan jalan cerita
terputus-putus.
Mereka merungut tidak faham jalan cerita KSJ.
Kami dapati ada pihak yang cuba sabotaj tayangan KSJ. Modus operandi
mereka adalah dengan mempercepatkan pertukaran reel dari satu projektor
ke satu lagi projektor.
Semua pawagam akan menggunakan dua projektor untuk menayangkan filem.
Cara ini memudahkan pertukaran reel filem yang sedang ditayangkan supaya
penonton akan terus dapat menonton tanpa menunggu si pengendali
projektor menukar reel jika hanya satu projektor digunakan.
Kami dapati si pengendali projektor diarah oleh tauke panggung untuk
menukar reel yang sedang diputar melalui projektor pertama sebelum reel
itu tamat dan ditukar ke reel di projektor kedua.
Apa yang terjadi ialah ada babak yang sepatutnya muncul di penghujung
reel di projektor satu contohnya tidak dapat ditonton oleh penonton
kerana telah ditukar kepada reel baharu di projektor kedua sebelum tiba
masanya.
Apa yang terjadi kepada penonton ketika itu? Hasil sabotaj terancang
ini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti perjalanan cerita KSJ
dengan tersusun. Ada babak demi babak ditebuk sehingga jalan cerita jadi
kelam kabut dan terputus-putus.
Akhirnya, penonton jadi tidak faham dan kalut. Apa yang kami dapati kebanyakan babak melibatkan watak-watak lanun cetak rompak.
Ini adalah insiden-insiden yang kami dapat kesan berlaku di Pulau
Pinang dan Alor Star. Bagaimana di bandar-bandar lain? Aku yakin sabotaj
ini berlaku kerana kami menerima juga aduan daripada penonton-penonton
dari bandar-bandar lain.
Kami tidak mampu untuk pergi ke setiap bandar dan ke semua panggung yang menayangkan KSJ ketika itu.
Hambatan masa dan masalah logistik menjadi penghalang.
Tetapi di pawagam Coliseum di Kuala Lumpur tidak pula berlaku. Aneh dan
menghairankan juga. Mungkin dalang sabotaj ini berasakan kami semua
bermastautin di Kuala Lumpur dan peluang untuk mengesan mereka lebih
mudah.
Mungkin ada pembaca yang tertanya sama ada aku ada buat laporan polis
atau tidak. Aku masih ingat kami buat laporan polis di Pulau Pinang.
Tetapi hingga ke hari ini tiada tindakan dan perkembangan, senyap dan terus ditelan masa sudah hampir 30 tahun!
Aku juga terpaksa berdepan dengan kerenah wartawan media cetak (ramai di antara mereka kini sudah bersara).
Mereka memprotes babak di mana watak wartawan hiburan, Ana yang
diperankan oleh Khatijah Ibrahim cuba disogok dengan suapan wang dalam
sampul surat oleh tauke syarikat rakaman Encik Johan yang diperankan
oleh Majid Salleh.
Zaman itu ada golongan wartawan hiburan (bukan semua) yang dikenali sebagai wartawan ‘envelope’ atau wartawan sampul surat.
Ini panggilan popular untuk wartawanwartawan yang sanggup menerima
rasuah untuk menaikkan artis-artis dari syarikat rakaman tertentu.
Aku kurang pasti sama ada golongan wartawan dan aktiviti seperti itu masih wujud lagi atau tidak sekarang.
Jelas dalam babak itu watak Ana tidak membuat aksi mengambil sampul
surat yang diberikan oleh Encik Johan. Aku pun tidak memberi arahan
mengambil sampul surat itu.
Babak itu aku akhiri dengan watak Ana teragak-agak mahu ambil atau tidak sampul surat itu. Aksi atau action yang tergantung.
Isu itu telah membuat hubungan aku dengan sebahagian wartawan hiburan
ketika itu menjadi kurang mesra. Aku diboikot oleh sebahagian wartawan
hiburan yang majoritinya dari satu syarikat akhbar tertua di negara kita
ini. Namun aku bersyukur masih
ramai lagi wartawan hiburan dari syarikat lain yang faham apa aku cuba sampaikan.
Kemuncak kepada semua ini adalah apabila KSJ ditolak pencalonannya pada
saat-saat akhir di Festival Filem Malaysia 1987. Insiden inilah punca
yang mencetuskan penentangan dan konfrontasi antara aku dengan Finas.
Aku rasa senario atau latar belakang suasana yang aku ceritakan di atas
sudah cukup setakat ini bagi pembaca memahami titik mula aku berdepan
dengan situasi yang menghalang aku terus mengarah filem.
Aku akan ceritakan tentang pertembungan aku dengan Finas ini minggu depan, insya-ALLAH.
No comments:
Post a Comment