MINGGU ini sudah masuk yang ke empat aku menulis untuk kolum Lantera.
Setakat ini banyak juga maklum balas aku dapat daripada kawan-kawan lama
dan semasa. Daripada peminat-peminat lama dan baharu.
Tidak sangka masih ada peminat yang mahu mengikuti perkembangan aku. Terima kasih. Alhamdulillah.
Aku ada terjumpa seorang member lama yang sepatutnya sudah bersara,
tapi kepakarannya masih diperlukan sebagai penasihat editorial. Kami
tidak bertemu sudah hampir 25 tahun. Apa yang menarik hati aku ialah
ungkapan pertamanya selepas kami bertanya khabar, bersalaman dan
berpelukan ialah – “Sir, wartawan envelop (wartawan sampul surat) masih
ada lagi!”
Aku hanya mampu tersenyum walau dalam hati bertanya mengapa perangai
negatif ini sukar dihapuskan? Apakah bangsa aku makin hilang daya
kemampuan membezakan haram dan halal? Sendiri mahu ingatlah!
Ada kawan-kawan beri semangat supaya menggunakan kolum ini untuk
membersihkan nama aku yang tercalar selama hampir 30 tahun. Bersemangat
kawan itu menyuruh aku membongkar apa yang selama ini tersorok di bawah
karpet.
Aku juga menerima banyak pesanan ringkas. Salah satu adalah daripada
pelakon dan pengarah filem Gangsterock – kasi sengat- Sofi Jikan.
Pesanannya memang ringkas tapi tepat dan mantap - History Unfold.
Kita berdepan cuaca panas, kemarau, berjerebu, catuan air di Selangor
dan Pilihan Raya Kecil Dun Kajang. Semua ini ditenggelamkan oleh
peristiwa hilangnya pesawat MH370 pada 8 Mac lalu. Satu dunia tertumpu
kepada peristiwa ini. Sehingga kini kehilangan MH370 masih belum
bernoktah dengan kepastian muktamad.
Di celah-celah ketidakselesaan dan kecelaruan rutin hidup yang terpaksa
kita semua lalui ini tiba-tiba tersiar berita tentang enam anak remaja
kita meninggal dunia kerana pengambilan dadah berlebihan – overdose di
konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA) yang berlangsung tiga
hari di Stadium Bukit Jalil dari 13 hingga 15 Mac lalu. Konsert untuk
hari ketiga dibatalkan kerana insiden itu dan 14 lagi dimasukkan ke
hospital dalam keadaan kritikal.
Berita insiden penonton konsert FMFA 2014 mati overdose kerana
pengambilan dadah methamphetamine yang merupakan designer drug atau
synthetic drug yang didatangkan dalam bentuk tablet atau pil bukan
setakat disiar dalam akhbar tetapi lebih banyak tersiar dalam laman
sosial di alam siber.
Aku mengikuti berita dan perkembangan insiden itu melalui YouTube dan
blog-blog di internet. Dari apa aku baca dan saksikan membuat aku
terfikir tentang betapa jauhnya perjalanan dan perubahan dalam budaya
berhibur dan menonton konsert di negara kita ini.
Minda aku mula diterpa kenangan lama bagaimana aku mula mengenali dan
tahu apa itu menonton konsert. Kegiatan atau aktiviti menonton konsert
telah melalui evolusi yang panjang sehingga sampai ke tahap apa kita
hadapi sekarang ini.
Aku lihat evolusi itu bermula dari pertunjukan atau konsert di
tapak-tapak funfair pada tahun-tahun pertengahan 60an. Ketika itu orang
ramai belum mengenali atau tahu perkataan konsert.
Paling tinggi mereka mengatakan show funfair. Aku masih ingat pada
tahun 1966 ketika usia 12 tahun, pengalaman pertama menonton pertunjukan
funfair aka konsert penyanyi popular angkatan pop-yeh-yeh.
Aku membesar di Alor Gajah, Melaka. Selalunya dalam setahun akan ada
rombongan funfair datang ke pekan Alor Gajah. Selain gerai mainan,
pentas joget dan judi, ada pentas kecil beratap zink dengan sistem bunyi
menggunakan corong pembesar suara seperti kita lihat di menara-menara
masjid sekarang.
Penyanyi pop-yeh-yeh yang popular ketika itu yang sempat aku tonton
konsert mereka ialah Jefridin (Datuk) dan Allahyarham A Ramlie.
Pertunjukan paling hampir boleh dikatakan konsert yang aku tonton ialah
yang menampilkan penyanyi-penyanyi dan kumpulan pop-yeh-yeh dari
Singapura terdiri daripada Rickieno Badjuri dan The Cliffters.
Penyanyi-penyanyi lain yang aku ingat turut serta ialah Hussein Ismail,
Halim Yatim dan Jun Abdullah. Nyanyian mereka diiringi The Cliffters
yang juga digelar The Rolling Stones of Singapore.
Pertunjukan ini diadakan di Dewan Hang Tuah merupakan dewan tertutup di
bandar Melaka. Sambutan penonton sungguh hangat dan hebat. Aku ketika
itu baharu menjejak kaki ke tingkatan dua.
Pada awal tahun 70an pengaruh dan kegilaan terhadap muzik pop-yeh-yeh
mula berkurangan. Pertunjukan nyanyian yang diadakan masih belum boleh
diklasifikasikan sebagai konsert.
Aku ingat lagi pertunjukan yang diadakan di padang bola di
tengah-tengah pekan Alor Gajah masih menggunakan sistem bunyi corong.
Antara penyanyi yang sempat aku tonton pertunjukan mereka ketika itu
antaranya D.J Dave, Sharifah Aini, Allahyarham Ahmad Jais dan
Allahyarham Saloma.
Dalam masa sama persembahan atau pertunjukan muzik yang menepati
ciri-ciri sebuah konsert hanya mampu dilakukan di Kuala Lumpur, terutama
di Stadium Negara. Ini dimungkinkan dengan kehadiran kumpulan-kumpulan
dari luar negara seperti Santana, Bee Gees, The Hollies yang mengadakan
konsert mereka di sekitar tahun 1972-73.
Perubahan besar berlaku pada 1984, apabila seorang promoter muda, Ali
Bakar telah menganjurkan Konsert Raksasa Blues Gang dan Sweet Charity.
Dengan pentas lebih besar dan sistem bunyi menggunakan jumlah speaker
yang lebih besar dan berkuasa tinggi serta sistem lampu yang terkini,
maka bermulalah satu era baharu yang menepati konsep dan ciri-ciri
sebuah konsert.
Tidak boleh dinafikan Blues Gang dan Sweet Charity adalah pelopor
kepada persembahan berbentuk konsert sebenar. Ali Bakar telah membawa
konsert raksasa ini melakukan tour menjelajah ke bandar-bandar utama di
Semenanjung Malaysia.
Sekarang apa hubung kaitnya coretan di atas dengan konsert Future Music Festival Asia 2014?
Aku mahu berkongsi pandangan dengan pembaca-pembaca muda dan yang
berstatus otai. Dari zaman funfair hingga ke zaman konsert seperti FMFA
2014, aku dapati tujuan utama penonton datang adalah untuk berhibur. Itu
sahaja.
Perbezaan antara show 50 tahun dulu dengan sekarang adalah dari segi
peralatan pentas, sistem bunyi dan lampu, gimik persembahan seperti
penggunaan pyrotechnic (kesan khas cahaya, bunyi dan asap) dan
kecanggihan alat bantu visual seperti monitor LED.
Perangai penonton tetap sama. Jika 50 tahun lampau ketika menonton
pertunjukan Jefridin di funfair aku tahu ada di antara penonton yang
pangkat abang-abang pada aku menghisap ganja.
Aku tahu ketika aku menonton show D.J Dave, Sharifah Aini di padang
bola Alor Gajah pada tahun-tahun awal 70an ada di antara penonton yang
dating dengan pasangan masing-masing.
Pada tahun-tahun 80an aku berpeluang menonton konsert-konsert besar
dari luar negara seperti konsert Deep Purple, Climax Blues Band dan juga
konsert grup The Mercys dari Indonesia di Stadium Negara.
Di Stadium Merdeka aku menonton konsert Uriah Heep dan paling tidak
dapat aku lupa konsert yang menggabungkan Blues Gang dari Malaysia
dengan Heritage (Singapura) dan Ram Band (Hong Kong) – satu gabungan
muzik blues, rock dan jazz. Konsert ini diadakan antara jam 3 hingga 6
petang.
Konsert-konsert di kedua stadium ini aku dapati perangai penonton sama
saja, ada yang meneguk arak dan ada yang telah mengambil dadah sebelum
masuk stadium.
Hanya di konsert Battle of The Bands di tapak pesta Sungai Nibong,
Pulau Pinang pada 1986 terjadi penonton merusuh kerana terlalu teruja
sehingga ada yang naik ke pentas dan mengganggu penonton lain. Timbul
kekecohan mungkin kerana kawalan keselamatan yang longgar.
Kesimpulannya, dari zaman funfair sampai sekarang ciri-ciri perangai
penonton konsert tidak banyak berubah. Ada yang datang hanya hendak
menikmati muzik tanpa menelan dadah dan meneguk arak. Ada yang datang
untuk enjoy dengan makwe dan pakwe masing-masing. Ada yang datang hendak
‘high' dan mabuk.
Beza konsert zaman dulu tidak ada diedarkan kondom dalam pek ringkas
dengan tema ‘Party Hard, Party Safe, Take Care’. Perbezaan paling nyata
ialah sekarang ada penonton mati overdose di tapak konsert!
Apakah perbezaan ini diketahui oleh pihak penganjur, promoter dan pihak
berkuasa tetapi masih menutup sebelah mata atas sebab untuk menarik
pelancong?
sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment