ARTIKEL aku minggu lepas "Nasib baik aku mengamuk" menimbulkan pelbagai
reaksi kawan-kawan. Di antara maklum balas aku dapat daripada
kawan-kawan penggiat filem ialah mereka tidak tahu tentang insiden aku
mengamuk di set penggambaran filem Perancis, After the River pada 1981
itu.
Ramai terkejut dan mengakui minggu lalu merupakan kali pertama mereka mengetahui insiden itu.
Memang aku jarang menceritakan insiden yang berlaku 33 tahun lampau itu
kepada sesiapa selama ini. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu
dan pernah aku ceritakan. Aku pun tidak tahu mengapa bersikap begitu.
Secara berjenaka aku katakan kepada mereka – “Gua belum famous lagi masa
tu! Tu sebab lu orang tak tahu!”
Pada aku, peristiwa itu terlalu istimewa dan tinggi nilai sumbangannya
dalam membentuk aku untuk menjadi pengarah filem. Insiden itu berjaya
membina kekuatan dan jati diri aku secara langsung dan tidak langsung
untuk berdepan segala fitnah dan mehnah yang terpaksa aku lalui selama
hampir dua dekad.
Tidak aku nafikan insiden 33 tahun lalu itulah yang mencorak pendekatan
aku kepada kerjaya yang aku pilih iaitu untuk menjadi pengarah filem.
Selepas berjaya mengarah filem-filem Kembara Seniman Jalanan - KSJ
(1985) dan Rozana Cinta ‘87 (1987) aku mula melalui fasa mencabar. Aku
berdepan dengan berbagai kerenah yang membuat aku bertindak menentang
arus.
Kerenah birokrasi dan hubungan tidak mesra dengan sesetengah pihak
media cetak yang telah aku ceritakan dalam tulisan-tulisan aku sebelum
ini berlaku antara tahun-tahun 1987 sehinggalah tahun-tahun awal 90-an.
Dalam jangka masa itu aku diberitahu oleh produser-produser yang aku
di‘gam’ oleh RTM kerana adegan-adegan dan dialog-dialog dalam KSJ yang
mengutuk RTM seperti dialog Osman Tikus yang diperankan oleh Pyanhabib
kepada Bujang (M Nasir) ketika dalam studio rakaman – “Jangan sound
macam orkestra RTM tak berubah.
Dari gua boleh mendengar sampailah gua tak boleh mendengar dok macam tu
je!”. Watak Osman Tikus merupakan watak seorang OKU yang tidak boleh
mendengar.
Peliknya tidak ada surat atau pengumuman rasmi dari RTM yang sepatutnya
aku terima untuk mengesahkan aku di’gam’ atas sebabsebab jelas. Aku
dilontarkan ke dalam satu situasi tidak menentu – ada pihak kata aku
di’gam’. Ada pula pihak mengatakan tidak ada tindakan dikenakan kepada
aku oleh RTM.
Situasi ini membuatkan aku menghadapi masalah untuk mendapat peluang mengarah filem dan drama daripada ramai produser.
Alasan mereka takut drama atau filem terbitan mereka akan di’gam’ oleh RTM jika aku diambil sebagai pengarah.
Ketika itu, RTM telah mula menswastakan program-program terutamanya
drama mereka kepada penerbit-penerbit tempatan. Peluang menerbitkan
drama untuk siaran RTM mula menarik ramai orang mencebur diri dalam
perniagaan penerbitan drama.
Walaupun penerbit drama untuk televisyen bertambah, tetapi ramai di
antara mereka takut memberi peluang untuk aku mengarah bagi syarikat-
syarikat mereka.
Senario sama juga aku alami dalam mencari peluang untuk mengarah drama tv.
Dalam bidang filem ada Allahyarham Harun Hassan merupakan produser
berani melawan arus memberi aku peluang mengarah Rozana Cinta ‘87 untuk
syarikatnya.
Dalam bidang penerbitan drama untuk TV khasnya untuk RTM, aku bertemu
dengan seorang penerbit berasal dari Sabah yang berani menongkah arus
dengan mengambil aku untuk mengarah drama-drama terbitan syarikatnya,
RGM Production Sdn Bhd. Nama penerbit ini, Haji Sheikh Muhammad Sheikh
Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Hj Max sahaja.
Hj Max berani menawarkan aku peluang mengarahkan drama-drama terbitan
syarikatnya kerana dia berpendapat jika betul aku digam oleh RTM mana
hitam putihnya - memang tiada dikeluarkan oleh RTM ketika itu.
Aku berasa pihak media cetak yang kurang mesra hubungannya dengan aku
yang agak rajin menimbulkan isu dan cerita ‘gam mengegam’ ini. Melalui
syarikat Hj Max, aku mula meneroka satu bidang baharu dalam kerjaya
sebagai pengarah - berkarya untuk TV.
Drama TV pertama arahan aku adalah untuk RTM bertajuk Anjang (1988)
tulisan Aziz Abbas dengan Baharuddin Hj Omar sebagai Anjang.
Aku mula memasuki fasa baharu di mana aku menggunakan kamera berbentuk
video dalam format neumatic untuk penggambaran drama-drama aku.
Pengalaman paling menarik ialah bila aku mula dapat menggunakan kemudahan video assist ketika mengarah.
Kemudahan yang membolehkan pengarah melihat dan memantau melalui skrin monitor ketika penggambaran dilakukan.
Memang pada aku kemudahan inilah yang aku mahukan ketika mengarah, baik drama atau filem - impian setiap pengarah aku rasa.
Aku bersama dengan syarikat Hj Max dari 1988 sehingga 1991. Di antara
drama arahan aku untuk RGM Production ialah Tok Kaya (1988) karya Aziz
Abbas, Khalilah (1988), Dalam Perjalanan (1988) karya Allahyarham Azizi
Abdullah.
Dalam Perjalanan merupakan drama pertama Wan Hanafi Su berlakon untuk TV.
Sebelum dan ketika itu beliau pelakon dan aktivis teater di Terengganu. Kami kenal kerana kegiatan teater.
Ketika dengan syarikat Hj Max ini, aku diberi peluang menulis skrip
sendiri selain mengarahkannya. Di antara drama TV yang aku tulis dan
arahkan berjudul Funfair. Skrip drama TV tulisan dan arahan aku yang
paling meninggalkan kesan pada aku berjudul Bara (1989).Drama Bara ini
aku tulis 'treatment'nya ketika dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur
dari Los Angeles.
Aku bersama Hj Max dan seorang lagi produser telah menghadiri program film market di Las Vegas, Los Angeles dan San Francisco.
Penerbangan balik kami bermula 10 pagi waktu LA dan sampai di Narita
jam 7 petang waktu Tokyo untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke
Kuala Lumpur. Cukup membosankan.
Sepanjang penerbangan dari LA ke Tokyo hanya lautan teduh Pasific
menjadi santapan mata. Aku bukan jenis yang suka menonton wayang dalam
penerbangan.
Jadi aku mula menulis 'treatment' bila satu ilham mengetuk minda ketika aku asyik merenung kebiruan lautan Pacific.
Kisah seorang isteri yang gila glamor untuk menjadi pelakon sehingga sanggup meninggalkan suaminya yang baik.
Aku selitkan juga kisah-kisah yang sering berlaku di belakang tabir ketika penggambaran filem atau drama.
Aku berjaya menulis tangan (masa itu belum ada laptop) 'treatment' yang
mengandungi 75 babak sebaik sahaja kami tiba di Lapangan Terbang
Narita, Tokyo.
Bila sampai di Kuala Lumpur aku mengambil masa seminggu menulis teleplay dan memasukkan dialog.
Penggambaran diadakan di Port Dickson. Drama ini merupakan yang pertama
Ismail Yaakob (pengarah filem Lenjan (1998) dan Laga (2014) bertugas
sebagai penolong pengarah.
Pada Anugerah Seri Angkasa 1989/1990 pada 1 dan 2 Mac 1990, Bara
dicalonkan untuk kategori drama swasta terbaik, pengarah drama TV
terbaik, lakon TV terbaik.
Pelakon-pelakon Bara turut juga tercalon.
Kamarool Hj Yusuf untuk pencalonan pelakon lelaki terbaik, Zu Ghairi
untuk pelakon wanita terbaik. Jit Murad pula dicalonkan untuk pelakon
harapan.
Anugerah pengarah drama TV terbaik dimenangi Aziz M Osman. Dramanya
Scoop menang drama swasta terbaik. Aku puas hati dengan keputusan kerana
dengan tercalonnya karya aku Bara dalam beberapa kategori sudah
mencukupi.
Aku tidak mengharap kemenangan tetapi jika menang adalah bonus untuk semua yang terlibat dalam Bara.
Bara merupakan anugerah paling manis untuk aku. Aku berjaya melakar
sejarah sendiri. Skrip ‘treatment’ yang aku tulis dalam masa kurang
lebih tujuh ke lapan jam atas awan ketika melintasi lautan teduh Pasific
tanpa aku sangka berjaya dicalonkan untuk Anugerah Seri Angkasa
1989/1990.
Terima kasih ALLAH.
sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment