FESTIVAL Filem Malaysia ke-6 berlangsung pada 14 Disember 1986 di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Salah satu dari filem-filem
yang dipertandingkan ialah filem arahan aku, Kembara Seniman Jalanan
(KSJ) terbitan ZSA Film Production Sdn Bhd.
Kalau tidak silap aku filem KSJ dicalonkan untuk kesemua kategori.
Filem yang dinobatkan filem terbaik tahun itu ialah filem Tsu Feh Sofiah
arahan Rahim Razali.
Ketika festival itu berlangsung, aku sedang mengarah filem kedua Rozana
Cinta 87. Filem ini terbitan syarikat Amir Communication Sdn Bhd.
Syarikat ini dipunyai oleh Allahyarham Harun Hassan (lebih mesra dengan
panggilan Pak Harun), bekas wartawan dan penulis novel.
Novel beliau berjudul Bukan Salah Ibu Mengandung pernah diadaptasikan
oleh Jins Shamsuddin untuk filem arahan pertamanya tahun 1969.
Pada malam penyampaian anugerah festival filem itu, ketua juri membuat
pengumuman pada saat-saat akhir di atas pentas yang mengejutkan aku dan
semua yang terlibat dalam filem KSJ.
Semua pencalonan filem KSJ ditolak atas sebab pelakon utama filem
arahan aku itu, M Nasir bukan rakyat negara ini. Ketika itu, M Nasir
belum memohon kerakyatan untuk menjadi rakyat Malaysia.
Reaksi pertama dan spontan aku adalah marah. Kenapa pengumuman dibuat
pada saat-saat akhir? Kenapa kami tidak diberitahu awal-awal lagi.
Lagipun syarat berkenaan tidak pernah dimaklumkan dari awal kepada aku
dan produser KSJ, Zarul AlBakri.
Kenapa syarat ini tidak dimaklumkan kepada semua produser yang ada filem mereka dipertandingkan?
Aku menganggap ini satu tindakan yang tidak adil. Semua yang terlibat
dalam produksi KSJ berasa dianiaya oleh penganjur dan pihak yang
bertanggungjawab dalam penjurian festival filem itu.
Terlalu banyak persoalan yang menghantui minda aku ketika itu. Aku
boleh terima tindakan panel juri itu jika pencalonan untuk M Nasir
sahaja dibatalkan kerana dia bukan rakyat negara ini ketika itu. M Nasir
dicalonkan untuk anugerah pelakon lelaki terbaik, penataan muzik dan
kalau tidak silap aku pencalonan untuk skrip asal terbaik.
Kenapa pencalonan-pencalonan lain yang tidak melibatkan M Nasir turut
dibatalkan? Kenapa aku dan tenaga produksi yang lain menjadi mangsa?
Pencalonan untuk pengarah terbaik, fotografi terbaik, suntingan
terbaik, penataan seni terbaik, screenplay terbaik dan pencalonan
pelakon wanita terbaik serta pelakon pembantu wanita terbaik menjadi
mangsa. Begitu juga pencalonan pelakon pembantu lelaki terbaik yang
mencalonkan Pyan Habib turut dibatalkan.
Ironinya, Pyan Habib diumumkan pemenang anugerah pelakon pembantu
lelaki terbaik melalui filem Tsu Feh Sofia. Pyan naik ke pentas bukan
untuk menerima tetapi untuk menolak award itu.
Menurut Pyan watak yang diperankannya dalam Tsu Feh Sofia terlalu kecil
untuk membolehkannya memenangi award tersebut berbanding dengan watak
Osman Tikus yang diperankannya dalam KSJ.
Pada keesokan harinya, tersiar dalam akhbar-akhbar berita jemaah juri
mengatakan filem KSJ adalah karya plagiat dan bukan karya asli. Aku
dituduh menciplak cerita KSJ pula!
Aku mengesyaki wujud satu usaha untuk sabotaj filem arahan aku itu.
Apatah lagi ketika itu aku sedang sibuk dengan penggambaran Rozana Cinta
87. Penumpuan kerja mengarah aku terganggu dengan tidak cukup tidur dan
ditambah dengan tekanan mengejar masa untuk menyudahkan penggambaran.
Aku berpendirian jemaah juri tidak konsisten dalam menjalankan
pengadilan. Mereka membatalkan semua pencalonan KSJ kerana isu M Nasir
bukan warga Malaysia, tetapi filem Suara Kekasih terbitan Amir
Communication yang turut sama dipertandingkan tidak pula dibatalkan
penyertaan, sedangkan pengarahnya Ida Farida, warganegara Indonesia!
Kenapa juri bersikap double standard?
Mengenai isu ciplak yang dibangkitkan sehari selepas malam anugerah itu
menambahkan lagi kecelaruan juri-juri untuk menjustifikasikan tindakan
mereka membatalkan pencalonan KSJ.
Untuk mendapat kepastian tuduhan ciplak itu, aku bertanya M Nasir apa
yang terjadi sebelum dia berjumpa dan meminta aku menulis screenplay dan
mengarah KSJ.
Menurut M Nasir, dia ada meminta Hamzah Hussain untuk menulis
screenplay filem KSJ berdasarkan skrip dan idea asalnya sebelum berjumpa
dengan aku. Hamzah ialah penulis veteran - skrip filem, novel, cerpen
dan juga seorang penyelidik filem yang
berpengetahuan luas tentang sejarah dan perkembangan filem Melayu dari zaman Shaw Brothers dan Cathay Keris.
Mengikut M Nasir, dia tidak berpuas hati dan menolak screenplay yang
dihasilkan oleh Hamzah. Aku rasa ini terjadi kerana ketiadaan keserasian
idea orang lama dengan idea generasi muda. Kebanyakan kami ketika itu
rata-ratanya berusia lewat dua puluhan dan awal tiga puluhan.
Cerita asal KSJ mengisahkan perjuangan seorang anak muda dari kampung
datang ke bandar untuk menjadi penyanyi. Selepas mengharungi berbagai
kesulitan dan dugaan, akhirnya dia berjaya mencapai impiannya.
Aku menghasilkan screenplay KSJ berdasarkan skrip asal M Nasir yang tidak ada langsung menyentuh tentang isu cetak rompak.
Isu cetak rompak menjadi sebahagian dari naratif KSJ setelah aku, M
Nasir, Ito dan Zarul Albakri berbincang dan setuju untuk isu itu
dijadikan subplot filem KSJ.
Jadi di mana logiknya yang pihak juri mengatakan aku menciplak? Kami
tidak memandang rendah ketokohan Hamzah. Tapi kami yakin dan pasti
Hamzah tidak berupaya untuk membawa isu cetak rompak dalam screenplay
yang dihasilkannya itu.
Aku tidak pernah meminta daripada M Nasir untuk membaca screenplay
tulisan Hamzah itu. M Nasir juga tidak pernah menunjukkan kepada aku
screenplay tersebut. Kami juga mendapat maklumat Hamzah merupakan salah
seorang juri Festival Filem Malaysia ke-6 pada tahun itu.
Untuk pengetahuan - Hamzah Hussain meninggal dunia pada 21 April 2007 ketika berusia 80 tahun. Al-fatihah untuk rohnya.
Akhirnya, aku membuat keputusan untuk bertemu dan meminta penjelasan
daripada Ketua Pengarah Finas ketika itu, Zain Hamzah (Datuk). Ditemani
pengurus produksi Rozana Cinta 87, aku ke pejabat Finas yang ketika itu
terletak di Jalan Ampang bersebelahan bangunan kedutaan Perancis
sekarang.
Kami tiba lebih kurang jam 2.30 petang. Aku mahukan penjelasan kenapa
KSJ dibatalkan kesemua pencalonannya pada saat akhir dan kenapa aku
dituduh menciplak cerita KSJ. Mana bukti KSJ adalah hasil karya plagiat
atau ciplak.
Aku kecewa apabila Finas ketika itu gagal memberi penjelasan dengan
alasan tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut. Aku akui perasaan
ketika itu bercampur baur antara marah, sakit hati dan geram. Aku memaki
hamun, meluru keluar dan ketika itu seorang pegawai cuba masuk campur,
dia cuba memukul aku dengan sebuah fail berkulit keras. Aku berjaya
menepis dan menolaknya ke dinding. Kemarahan aku telah sampai peringkat
maksimum.
Aku terus keluar untuk bertemu dengan pengurus produksi aku yang
menunggu di luar pintu masuk utama. Aku ternampak batu-bata di atas
rumput di depan pintu utama. Aku terfikir lebih baik aku pecahkan pintu
kaca utama Finas itu daripada aku pecahkan muka-muka mereka. Aku ambil
sebiji batu, tetapi pengurus produksi menghalang dengan memegang dan
memeluk aku dari belakang. Kami terjatuh tetapi aku berjaya lepaskan
diri. Dengan sebiji batu di tangan kanan aku terus melontar ke pintu
kaca itu, prang... berderai dan berkecai serpihan ke lantai.
Pengurus produksi menarik aku masuk ke dalam kereta. Kami balik ke
pejabat Pak Harun meneruskan penggambaran Rozana Cinta 87 untuk hari
itu.
Keesokan harinya tersiar di akhbar kejadian itu. Finas buat laporan
polis. Maka bermulalah sejarah pertembungan antara aku dengan Finas.
sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment