Tuesday, May 13, 2014

A Go Go 67 tanpa M Osman, A Ramlie & Jefrydin?

 FILEM A Go Go 67 (1967) arahan Omar Rojik, terbitan Shaws Malay Film Productions, Singapura. Setahu aku sepanjang sejarah perfileman Melayu, filem ini merupakan genre muzikal pertama dihasilkan sejak filem Melayu pertama, Laila Majnun arahan BS Rajhan diterbitkan oleh SM Chisty di Singapura pada 1934.

Genre muzik pop yeh yeh bermula pada 1965 mencapai kemuncaknya dengan terhasilnya filem A Go Go 67. Filem ini merupakan pelengkap kepada satu evolusi muzik terkini ketika itu. Walaupun sebelum ini filem Muda-Mudi (1965) arahan M Amin ada menampilkan kugiran The Pretenders tetapi lebih sebagai artis undangan sahaja.

Aku menonton A Go Go 67 di panggung Lido, Melaka (sekarang sudah diubahsuai menjadi pasar raya) selepas lebih kurang sebulan tayangan first runnya pada umum. Selalunya, filem-filem Melayu keluaran Shaws Malay Film Productions akan ditayangkan di Melaka selepas tayangan first run di bandar-bandar utama seperti Singapura, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Alor Star dan Ipoh. Tetapi filem-filem keluaran Cathay Keris yang berpusat di Singapura pula selalunya ditayangkan di panggung Cathay, Melaka serentak dengan tayangan first run dengan bandar-bandar utama lain ketika itu. Panggung Cathay, Melaka juga sekarang telah diubahsuai. Tidak silap aku dijadikan pusat pameran perabot.

Filem A Go Go 67 berjaya mencipta satu fenomena. Filem ini mendapat sambutan hangat peminat-peminat muzik pop yeh yeh dan penonton filem Melayu.

Dibintangi pelakon-pelakon utamanya, Aziz Jaafar, Nor Azizah dan Normah Zainal. Membariskan 12 kugiran-kugiran dan empat kumpulan penari a go go.

Naratif filem A Go Go 67 mudah dan senang diikuti. Mengisahkan hero (Aziz Jaafar), seorang pekerja penjaga kuda lumba dan juga ketua, penyanyi kepada kugiran Dendang Perindu. Si hero berdepan dengan konflik apabila dua penyanyi kugirannya, Noor Azizah dan Normah Zainal bermusuh sesama mereka untuk mendapatkan cinta sang hero. Kedua mereka adalah anak-anak orang kaya.

Kugiran-kugiran  dan penyanyi-penyanyi yang membarisi filem ini terdiri daripada Siti Zaiton dan The Hornets, M Hatta dan D’4 Ever, Nadar dan The Zarak, S Mariam dan The Rhythm Boys, Wan Intan dan The Mods, M Noor dan The Night Shadows, A Romzi dan The Hooks, Normah Zainal dan Blue Beats, Sanisah Huri dan The Terwellos, M Ishak dan The Young Lovers, M Fadzil & Okid Abdullah dan Les Coasters, S Jibeng dan Dendang Perindu. Lagu-lagu dan muzik filem ini adalah hasil karya Yusoff B dan Kassim Masdor.

Satu keunikan muzik pop yeh yeh ini selalunya setiap persembahan kugiran-kugiran dan penyanyi-penyanyinya akan diiringi oleh sekumpulan penari. Kumpulan penari-penari ini dipanggil penari a go go. Penari perempuan dengan mini skirtnya dan seluar ketat bagi penari lelaki. Ada kugiran-kugiran yang ditubuhkan siap sekali dengan kumpulan penari a go go mereka sendiri seperti penyanyi M Ishak dan kugirannya The Young Lovers. Kumpulan penari mereka bernama The Young Lovers Dancers. Begitu juga penyanyi Sanisah Huri dan The Terwellos dengan penari-penari mereka bernama Terwellos Dancers.

Filem A Go Go 67 tidak ketinggalan menampilkan kedua kumpulan penari tersebut di samping kumpulan Tami Dancers dan Group 7 Dancers. Filem ini sedaya mungkin cuba memberikan satu package hampir lengkap untuk memenuhi cita rasa penonton dan peminat pop yeh yeh ketika itu. Aku di tingkatan dua ketika menonton A Go Go 67. Tidak aku nafikan sememangnya aku teruja dengan apa aku tonton dan dengar melalui layar lebar ketika itu – satu pengalaman muzik dan tontonan filem yang memuktamadkan cita rasa muzik Melayu aku. Dari saat itu aku memilih muzik Melayu berasaskan rock n roll dan blues. Noktah.

Selepas hampir 47 tahun berlalu, aku masih memikirkan dan mencari jawapan kenapa filem A Go Go 67 tidak menampilkan tiga penyanyi penting aka pelopor pop yeh yeh – M Osman, A Ramlie dan Jefrydin!

Sehingga ke saat ini aku masih bertanya dan mencari jawapannya. Kenapa isu ini tidak disuarakan oleh wartawan-wartawan hiburan baik akhbar mahupun majalah dalam ulasan dan pemberitaan mereka mengenai filem A Go Go 67. Aku ada dan masih menyimpan majalah-majalah lama tahun-tahun 60an (walaupun tidak banyak dan tidak lengkap bilangannya) seperti Majallah Filem terbitan Shaw Brothers, Majalah  Bintang dan Lagu, Berita Filem, Mastika Filem, Majalah Filem Malaysia dan Majalah Lagu-Lagu, Filem & TV. Setakat keluaran tahun 1967 dan 1968 majalah-majalah ini terutamanya Majallah Filem yang merupakan media rasmi syarikat Shaws Malay Film Productions tiada langsung membuat liputan tentang ketiadaan tiga ikon penting pop yeh yeh dalam filem A Go Go 67. Aku yakin tidak terlepas pandang tentang hal ini.

Pada aku filem A Go Go 67 tidak lengkap tanpa tiga ikon ini. Sungguh malang dan satu kerugian besar apabila pengarahnya, Omar Rojik gagal merakamkan penglibatan ikon-ikon ini dalam filemnya. Pada aku ini satu hal penting. Kehadiran tiga ikon pop yeh yeh ini secara langsung akan menjadi bahan rujukan sejarah seni muzik dan filem tanah air. Di antara mereka bertiga hanya Datuk Jefrydin yang masih bersama kita. Mungkin Jefrydin boleh memberi pencerahan kepada persoalan ini!

Pengaruh pop yeh yeh bukan hanya pada muzik yang direvolusikan tetapi pada fesyen pakaian, rambut, kasut dan juga kenderaan – motosikal Vespa dan Lambretta. Semua ini membentuk satu pop culture atau budaya popular yang menyatukan anak-anak muda Melayu di Malaysia, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei dalam mengharungi kehidupan harian mereka ketika itu.

Selepas A Go Go 67, ramai pengarah filem Melayu mula menggunakan muzik pop yeh yeh sebagai daya tarikan untuk memancing penonton untuk menonton filem-filem mereka. Di antara filem yang aku ingat menggunakan formula ini ialah filem-filem keluaran Cathay Keris. Dosa Wanita (1967) arahan M Amin yang menampilkan penyanyi baharu A Rhyme dan The Rythmn Boys. Filem arahan Nordin Ahmad, Playboy (1968) dengan kugiran Les Fentones.

Aku pernah diberitahu oleh Ito, penyanyi kumpulan Blues Gang tentang pertemuannya dengan ikon pop yeh yeh, A Ramlie ketika Blues Gang merakamkan album pertama mereka Any Time, Any Day di Singapura pada tahun 1979. A Ramlie memberitahu Ito – Blues Gang adalah penyambung kepada pop yeh yeh.

Ito juga ada menceritakan kepada aku sumbangannya dengan J Sham, penyanyi pop yeh yeh dengan kugiran The Wanderers berasal dari Tampin, Negeri Sembilan. Lagu popular dan hit mereka ialah Suratku Untukmu yang meletup di penghujung era kegemilangan pop yeh yeh pada awal tahun 70-an.

Menurut J Sham, muzik pop yeh yeh Melayu adalah pengaruh dari The Beatles. Bezanya adalah cara nyanyian penyanyi-penyanyi pop yeh yeh. Aku rasa pandangan J Sham tepat apatah lagi beliau seorang bekas pensyarah bidang muzik.   

Sejarah telah melakarkan genre pop yeh yeh adalah benih kepada suburnya pepohon muzik moden Melayu berasaskan gitar dan dram sehingga sekarang.

sumber: Sinar Harian

No comments: